Yasmin (duduk, tengah) bergambar bersama pasukan Ecolest9 selepas memeterai perjanjian kerjasama di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri JPN hari ini.

SHAH ALAM — Pasukan F1 In Schools dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Ecolest9 bakal membawa nama negara ke Pertandingan F1 In Schools peringkat dunia di London 15 Julai depan.

Menurut Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor, Yasmin Kamarudin, pihaknya berharap pasukan tersebut berjaya mencatat kejayaan cemerlang dalam pertandingan tersebut.

“Pasukan Ecolest9 membuktikan program di bawah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) mampu dilaksanakan walaupun ada pihak yang menganggap program STEM sebagai sesuatu yang berat.

“Idea oleh pasukan Ecolest9 untuk mewujudkan STEM Hub Negeri Selangor dengan kerjasama Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Murid JPN Selangor bersama Sektor Sumber Teknologi Pendidikan JPN Selangor dan Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM Shah Alam merupakan satu usaha yang baik dalam memangkin peningkatan penglibatan murid dalam bidang STEM dengan lebih aktif,”katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani dokumen kerjasama antara pasukan Ecolest9, Unit Pembangunan Bakat Murid, Sektor Pembangunan Bakat Murid dan Sektor Sumber Pendidikan JPN Selangor di Seksyen 19 hari ini.

Sementara itu menurut Ketua Pasukan Ecolest9, Wan Ilhan Erina Wan Zulkifli,18, pasukan Ecolest9 telah memenangi pertandingan F1 In Schools awal tahun ini pada pertandingan yang diadakan di Terengganu.

“Pihak saya berharap mampu bersaing dengan 50 pasukan lain di Litar Silverstone dan menjulang nama Malaysia di persada dunia.

“Seiring inovasi dalam teknologi formula satu kita berharap dapat menewaskan pasukan hebat dari Australia dan UK sendiri,”katanya.

Selain Wan Ilhan Erina pasukan Ecolest9 dianggotai, Aleesya Abdul Raman,16, Sharifah Farihah Nadra Syed Zulkhairul Iskandar,17, Irdeena Sofea Nazrul Iriwan,17, Muhammad Shahazim Shamsul Nahar,17, dan guru pengiring Kashnani Mat Nor,47, dan Amirul Izham Ishak,38. — BebasNews

Leave a Reply