EMPAT puluh dua tahun lamanya penantian itu. Tiga generasi pemain yang silih berganti diperlukan untuk mengulangi pencapaian kali terakhir pada 1980. Penantian yang juga satu penyeksaan!

Malam tadi, terlerai atau bernoktah segala kemarau yang berpanjangan itu dalam pertembungan terakhir Kumpulan E pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia.

Bukan lagi dengan berstatus tuan rumah yang layak automatik seperti 2007 tetapi Harimau Malaya layak ke pusingan akhir bola sepak Piala Asia kali ini secara merit!

Skuad kendalian Kim Pan-gon ini membelasah Bangladesh 4-1 untuk menduduki tempat kedua Kumpulan E dengan mengumpul enam mata sekali gus menyertai antara lima naib juara kumpulan terbaik yang layak.

Sekalipun cuma perlu seri setelah pesaing terdekat dalam Kumpulan B, Filipina hanya meraih empat mata dan kekurangan gol, skuad negara tetap mahu membalas jasa Pan-gon dan sokongan padu Ultras Malaya dengan kemenangan terakhir.

DION-Johan Cools (kiri) merembat dengan kaki kiri gol kedua Harimau Malaya. – Foto FAM

Pesta gol di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu dirakamkan dengan sepakan penalti Safawi Rasid, minit ke-16, rembatan kaki kiri Dion-Johan Cools (38), tandukan ke belakang Syafiq Ahmad (47) dan tolakan mudah Darren Lok (73).

Bangladesh atau Harimau Bengal sempat beradu ‘mengaum’ dengan gol penyamaan minit ke-31 menerusi tandukan Mohammad Ibrahim dari jarak dekat selepas satu lontaran jauh ke dalam dari tepi padang.

Namun selepas itu pelawat tidak terdaya lagi menahan asakan bertali arus tuan rumah yang bertemankan 52,964 ahli Keluarga Malaysia termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Hilang sudah juga kekecewaan tumpas 2-1 kepada Bahrain, Sabtu lalu yang meragut seketika kegarangan awal Harimau Malaya ketika membaham Turkmenistan 3-1 pada 8 Jun lalu.

ISMAIL Sabri Yaakob mengangkat tangan dari tempat tetamu kenamaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil meraikan kejayaan pasukan kebangsaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023. – Foto FAM

Malam tadi juga, mereka yang menganggotai skuad Malaysia dalam pusingan akhir Piala Asia di Kuwait pada 1980 itu pasti tersenyum bangga semula dengan penyamaan rekod yang bertahan 42 tahun ini.

Diketuai Datuk Soh Chin Aun, mereka antaranya Datuk Jamal Nasir Ismail, Kamarudin Abdullah, Rameli Junit, Zulkifli Hamzah, Abdullah Ali, Wan Jamak Wan Hassan, S. Pushpanathan, G. Torayraju, Datuk Abdah Alif, Datuk Shukor Saleh dan Bakri Ibni serta Nik Pauzi Hassan.

Ada anggota skuad ini yang telah pergi selama-lamanya iaitu Allahyarham Tukamin Bahari, Allahyarham Hanis Devandran Abdullah, Allahyarham Yahaya Jusoh, mendiang Peter Rajah, mendiang Ong Yu Tiang dan jurulatih Allahyarham Mohamed Che Su.

Barisan negara: Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Shahrul Saad (Dominic Tan), Dion-Johan Cools, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong, Nor Azam Azih, Syamer Kutty Abba (V. Ruventhiran), Safawi Rasid (Nazmi Faiz Mansor), Faisal Halim (Akhyar Rashid), Arif Aiman Hanapi, Syafiq Ahmad (Darren Lok).

SYAFIQ Ahmad (kiri) kali pertama menyarung lilitan kapten negara, meraikan gol dengan Safawi Rasid. – Foto FAM

Leave a Reply