MALAYSIA bakal berentap dengan 23 pasukan terbaik Asia dalam pusingan akhir Piala Asia, Jun tahun depan di venue yang belum ditentukan ekoran penarikan diri China akibat Covid-19. – Foto FAM

ULASAN sidang media pascaperlawanan Malaysia mengalahkan Bangladesh 4-1 dalam Kumpulan E pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.

Kim Pan-gon, ketua jurulatih Malaysia (gambar atas, tengah – barisan depan Harimau Malaya)

“Ultras Malaya berikan sokongan besar, terima kasih, saya hargai kelab-kelab Liga Malaysia, jurulatih-jurulatih, semua pemain terutama JDT (Johor Darul Ta’zim FC), terima kasih banyak TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim), beliau hantar 15 pemain untuk sokong kami, mungkin sukar baginya dalam membuat latihan.

Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) datang perlawanan ini dan (Sabtu lalu – menentang Bahrain).

Terima kasih khususnya semua pemain Harimau Malaya. Saya  amat bangga dengan mereka yang memberikan peminat, seluruh kecintaan dan tenaga, apa yang peminat hendak, kami berikannya, pemain-pemain bekerja keras untuk negara.

ARIF Aiman Hanapi (kanan) antara yang menyerlah sepanjang Kelayakan Piala Asia, cuba menggelecek dua pemain Bangladesh, semalam. – Foto FAM

Sebenarnya setelah diundang ke sini, saya dapat dua misi – bawa (pasukan negara) ke pusingan akhir Piala Asia, kedua juara Piala AFF (hujung tahun ini). Namun jika tiada asas kuat di sini, memang sukar dibuat. (Layak ke Piala Asia) ini menakjubkan.

Saya seorang jurulatih yang kecil yang berbuat sesuatu dan banyak menuntut tetapi bola sepak Malaysia yang menjalankannya semua.”

BARISAN pemain Harimau Malaya dan anak-anak mereka, pegawai pasukan dan petugas sokongan meraikan kejayaan layak ke Piala Asia 2023 selepas menduduki tempat kedua Kumpulan E. – Foto FAM

Dion-Johan Cools, bek tengah Malaysia

“Bola sepak sukan berpasukan. Semua orang jalankan tugas yang hebat.

Biarpun punya kelebihan besar, kami mahu menang perlawanan ini. (Dengan Bangladesh) mungkin (menang) tujuh atau lapan gol. Masih ada banyak ruang perbaikan biarpun dapat empat. Itulah yang indahnya.

DION-Johan Cools (tiga dari kanan) menerima hadiah sumbangan penaja MAS sebagai Pemain Terbaik Perlawanan menentang Bangladesh. – Foto FAM

Akhirnya saya buat satu lagi keputusan dalam karier. Saya tidak menyesal, amat gembira pilih Malaysia kerana bola sepak (membina nama dan karier di Belgium dan Denmark). Saya rela mati demi negara ini dan berikan segalanya di padang. Selagi berfikiran begini, saya akan berikan 100 peratus untuk pasukan dan negara.

Perlawanan pertama (kalahkan Turkmenistan 3-1) genting dan kita menyerlah. Kita tidak dapat tunaikan tugas (tiga mata) Sabtu lalu (dikalahkan Bahrain 2-1) namun kena lakukannya hari ini (tewaskan Bangladesh, semalam). Saya gembira dengan persembahan kami walaupun kita boleh menang tiga perlawanan ini dan tidak patut lepaskan gol.

Jaringkan gol buat pasukan negara berbeza dengan apabila bermain untuk kelab (di Eropah). Apabila bermain untuk negara, (perasaannya) lain. Seluruh negara di belakang anda, momen yang hebat dan saya menikmatinya.”

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah, mengangkat sebelah tangan) menyaksikan kejayaan bersejarah Harimau Malaya layak ke Piala Asia secara merit – yang pertama sejak 1980. – Foto FAM
KELUARGA Malaysia dan Ultras Malaya bergabung memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sebagai ‘Pemain Ke-12’ di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – Foto FAM

Leave a Reply