SAFUAN Asif (kanan), naib juara dunia 2019 dan kebangsaan 2021, menjadi sandaran negara dalam kategori 63kg Kejohanan Gusti Lengan Asia 2022 dari Sabtu hingga Ahad ini. – Foto MyArm

PERSEKUTUAN Gusti Lengan Malaysia (MyArm) tidak sesekali sudah berputus asa untuk kembali melobi masuk ke dua lagi Sukan SEA sebagai sukan berpingat setelah tidak berpeluang melakukannya pada Sukan SEA Kemboja 2023.

Presidennya,  Mohd. Zil Fadli Abd. Halim berkata, masih ada ruang baharu untuk MyArm dengan kerjasama negara jiran Asia Tenggara, menyertai temasya serantau dwitahunan itu di Thailand pada 2025 mahupun Malaysia 2027.

“Kami tidak dapat teruskan bidaan ke Sukan SEA Kemboja kerana Perintah Kawalan Pergerakan dan Covid-19 pada penghujung 2020 apabila pintu keluar masuk negara ditutup tetapi kami sudah sasarkan untuk masuk Sukan SEA 2025 dan 2027.

“Kami yakin Thailand pun kuat dalam kategori berat badan yang lebih besar dalam gusti lengan jadi mereka mampu menyokong kemasukannya. Mereka pun sudah aktif sejak 2010.

“Bagi Sukan SEA 2027, jika peluang kita cerah untuk dapat 10 pingat emas menerusi gusti lengan dalam kategori berat atau ringan, tiada sebab lagi mengapa kita mahu menolak penyertaannya,” katanya.

MOHD. Zil Fadli Abd. Halim (tengah) dalam sidang media, kiri ialah Safuan Asif, naib juara Kejohanan Dunia 2019. – Foto MyArm

Zil ditemui pada sidang media pengumuman Kejohanan Gusti Lengan Asia 2022, hari ini yang akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor dengan disertai 15 negara benua itu.

“Sayang sekali kerana perintah berkurung Covid dan masalah visa, China, Kazakhstan dan Taiwan tidak dapat hadir menyertai biarpun mereka antara kuasa besar gusti lengan namun kita masih ada Singapura, Kemboja, Thailand, Vietnam, Brunei, Bangladesh, Jepun, Korea Selatan, India, Filipina, Pakistan dan Iran.

“Inilah kejohanan antarabangsa terbesar anjuran kami selepas menjadi tuan rumah Kejohanan Dunia 2015. Sebanyak 50 kategori akan dipertandingkan meliputi junior (bawah 15 tahun), belia (bawah 18 tahun), senior, master (40 dan 50 tahun ke atas) dan grand master (60 tahun ke atas),” katanya.

BARISAN pegawai MyArm dan wakil penaja serta penggusti lengan Malaysia bergambar kenangan selepas sidang media Kejohanan Gusti Lengan Asia 2022 di Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor. – Foto MyArm

Kata Zil, buat kali pertamanya Kejohanan Asia akan mempertandingkan gelaran keseluruhan yang menemukan juara-juara daripada kategori senior 57 hingga 105 kilogram dengan MyArm menyasarkan 30 pingat emas daripadanya.

“Malaysia akan mempertaruhkan jagoan-jagoan Asia dan dunia serta juara kebangsaan MyArm pada Disember 2021 seperti Joffey Jolly, Safuan Asif, Jake Chia dan Calveen Petrus.

“Nama-nama besar Asia termasuk Seung Yeol Baek (Korea Selatan), Pranjit Saikia dan Monoj Debnath (India), Kevin Tsai dan Valen Low (Singapura),” katanya.

AKSI Jake Chia, juara kebangsaan (kanan) yang akan bertarung dalam kategori 95kg pada Kejohanan Gusti Lengan Asia 2022. – Foto MyArm

 

Leave a Reply