- BebasNews
Oleh Azura Mohd Isham

SETELAH menjadi penyokong setia Pakatan Harapan selama ini, saya harus mengakui, saya kini agak kecewa dan sangat keliru dengan perkembangan baru-baru ini.

Bagi saya, ia seakan-akan PH melakukan hara-kiri (bunuh diri) politik dengan mempertimbangkan kemungkinan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Sekiranya pemimpin PH tidak menyedari, Bersatu adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional, yang merupakan sebahagian daripada kerajaan dan sama sekali tidak dikaitkan dengan Pembangkang (PH).

Jadi mengapa timbul laporan bahawa Bersatu sedang berbincang dengan Pembangkang untuk menjadi sebahagian daripada khemah besar mereka?

Tidakkah PH sedar bahawa mereka akan merasai kemarahan pengundi semasa PRU jika mereka mengambil jalan ini.

Bersatu pada masa ini tidak lebih daripada ayam tanpa kepala (headless chicken) yang berlari-lari tanpa arah tuju.

Mereka terdesak dan mencari mana-mana sekutu untuk berpaut untuk menghadapi pilihan raya umum.

PH mesti kata tidak kepada pengkhianat ini. Mereka sama sekali bukan sebahagian daripada Pembangkang dan PH tidak sepatutnya membuka pintu kepada mereka.

Saya tidak nampak ada parti lain yang mahu atau sanggup bekerjasama dengan Bersatu, jadi kenapa PH perlu terima mereka. Adakah PH sama terdesak untuk menerima sesiapa sahaja yang sanggup bekerjasama dengan mereka?

PH mesti berpegang pada prinsipnya dan tidak melupakan asas mengapa ia dilahirkan sejak awal.

Sebaik sahaja ia dicemari dengan pemimpin seperti dari Bersatu, PH boleh yakin ia juga akan lenyap daripada landskap politik negara tidak lama lagi.

Subang Jaya

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply