TETAMU Episod 2 “Kad Merah…Bicara Sukan”, Datuk Jamal Nasir Ismail.

DATUK Jamal Nasir Ismail merupakan seorang daripada 18 pemain Malaysia yang sempat menikmati aksi pusingan akhir bola sepak Piala Asia 1980 di Kuwait – penampilan yang hanya mampu diulangi Harimau Malaya pada 14 Jun lalu, selepas 42 tahun kempunan secara merit.

Namun setelah skuad Kim Pan-gon menempah tiket Piala Asia 2023 sebagai naib juara Kumpulan E pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia, masih ada ulasan-ulasan nakal warganet yang memperlekehkan kejayaan gemilang bersejarah di Stadium Nasional, Bukit Jalil itu terutama kerana hanya rakus membuli pasukan di ranking ke-188 dunia, Bangladesh 4-1.

Jamal, juga anggota skuad negara yang layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980, mengupas episod kejayaan ‘Farizal Malias & Co.’ ini malah menjangkakan laluan yang jauh lebih getir dan berbeza menanti mereka dengan 23 lagi pasukan peserta pusingan akhir, tahun depan.

Siapakah anak buah Pan-gon yang dianggapnya, ‘Jamal Nasir Alaf Baharu’? Bagaimana beliau mengimbas semula kisah skuad 1980 pimpinan Datuk Soh Chin Aun dan dibimbing Allahyarham Mohamed Che Su itu dalam mengharungi Kuwait, Korea Selatan, Qatar dan UAE ketika itu?

FAISAL Zakariah (kiri) turut pernah bekerjasama dengan penolong jurulatih Harimau Malaya, E. Elavarasan menjana kejayaan Felda United FC dan PKNS FC dalam Liga Perdana Malaysia.

Wajarkah ganjaran dihadiahkan untuk skuad Pan-gon seperti yang diumumkan Perdana Menteri? Video tular pemain-pemain meraikan kejayaan itu di kelab malam malah kenyataan mengejut Menteri Belia dan Sukan selepas dikalahkan Bahrain, mendapat perhatian Jamal!

Semuanya dapat diikuti bersama tetamu ini menerusi program bual bicara sukan portal dalam talian bebasnews.my, “Kad Merah!… Bicara Sukan” Episod 2 bertajuk, “Harimau Malaya Ke Piala Asia 2023 – Menguruskan Kesinambungan Kejayaan” mulai pukul 11 pagi ini 17 Jun 2022 pada pautan https://www.youtube.com/watch?v=WEoIIGjwwgw

Program kendalian Abdul Hafiz Ahmad ini turut ditemani pengacara jemputan, Faisal Zakariah – bekas Ahli Jawatankuasa Pertandingan, Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penolong pengurus pasukan Public Bank, Felda United FC dan PKNS FC. — BebasNews

BARISAN pemain, pegawai pasukan dan petugas sokongan serta anak-anak pemain meraikan kejayaan Harimau Malaya layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023, Selasa lalu. – Foto FAM
SKUAD 23 pemain Harimau Malaya dengan ketua jurulatih, Kim Pan-gon (barisan depan, tengah). – Foto FAM
BARISAN 24 pasukan yang bakal beraksi pada pusingan akhir Piala Asia 2023 termasuk enam yang telah layak ke Piala Dunia 2022 (Australia, Iran, Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dan tuan rumah Qatar). – Foto FAM

Leave a Reply