KUALA LUMPUR 17 Jun — Selepas lebih 30 tahun ‘membisu’ mengenai persaraan politiknya, Lee Lam Thye ‘membuka mulut’ mendedahkan permainan politik dalaman sehingga beliau meninggalkan politik menjelang Pilihan Raya Umum 1990.

Bekas Timbalan Setiausaha Agung DAP itu berkata, kemuncak sebab persaraannya apabila pucuk pimpinan parti mengarahkannya berpindah kawasan pilihan raya yang tidak dinamakan tanpa sebab kukuh beliau perlu berpindah.

Katanya, ketika itu ramai yang benar-benar prihatin bertanya sebab sebenarnya beliau berundur tetapi tidak bersedia menjelaskannya bagi mengelakkan perdebatan serta pelbagai tanggapan.

“Jawapan saya kepada mereka ialah “kebenaran akan diketahui bila tiba masanya”, dedahnya melalui buku terbarunya bertajuk ‘Call Lee Lam Thye – Recalling a Lifetime of Service’ yang dilancarkan di sini semalam.

Lam Thye melalui satu siaran akhbar pada 29 September 1990, tidak sampai sebulan sebelum PRU ke-8 pada 20 Oktober, mengumumkan persaraannya daripada politik selepas 21 tahun menjadi wakil rakyat.

Tanpa menyatakan sebab persaraan yang meyakinkan, mantan Ahli Parlimen Bukit Bintang itu berhadapan dengan pelbagai dakwaan termasuk sebagai pengkhianat dan “memihak kepada kerajaan”.

Meskipun sedih dan kecewa dengan pelbagai tuduhan liar ini, Lam Thye tetap berdiam diri kerana tidak mahu membenarkan dirinya terjebak dalam kancah peperangan mulut, terutama dengan rakan-rakan dalam parti.

“Cara saya berpolitik tidak digemari, dengan ramai pemimpin dan rakan dalam DAP merasakan saya meluangkan masa yang terlalu banyak untuk orang ramai dan bukannya parti,” katanya dalam buku itu.

Lam Thye menjelaskan walaupun berada di pihak lawan, beliau lihat peranannya ialah sebagai seorang wakil rakyat pembangkang yang memberi kritikan membina dan cadangan yang berfaedah untuk ditimbangkan oleh kerajaan.

“Saya bangkang bukan semata-mata untuk membangkang. Sebaliknya, saya pernah menyokong undang-undang yang dibawa oleh kerajaan selagi mana ianya membawa manfaat kepada rakyat dan negara.

“Sikap saya menolak pendekatan konfrantasi tidak diterima dengan baik, dan pendirian saya dalam beberapa perkara juga dikritik.

“Semakin lama saya rasa semakin sukar untuk berkerjasama dengan sebahagian rakan-rakan dalam parti, terutamanya mereka yang saya telah bimbing, bentuk dan bantu tetapi membalas semua jasa ini dengan menikam saya dari belakang.

“Kemuncak sebabnya saya mengucapkan selamat tinggal kepada politik ialah apabila saya diberitahu oleh pucuk pimpinan parti bahawa saya tidak akan bertanding di Bukit Bintang, kerusi yang telah saya pertahankan selama empat penggal, tetapi di kawasan lain.

“Ini berlaku menjelang pilihan raya umum tahun 1990. Keputusan ini tidak masuk akal sama sekali. Lidah saya kelu!,” katanya.

Lam Thye amat terperanjat kerana setiap kali menjelangnya pilihan raya, kawasan yang akan ditandingi biasanya di kerusi yang sama, lebih-lebih lagi apabila telah berkhidmat dengan cemerlang dan menjalin hubungan rapat dengan pengundi.

“Tetapi kali ini saya tidak diberitahu di mana saya akan bertanding. Saya berjumpa Lim Kit Siang (setiausaha agung parti) dua bulan sebelum pilihan raya umum dan dengan tegas beliau memberitahu saya tidak akan mempertahankan kerusi Bukit Bintang,” katanya.

Lam Thye cuba berbincang tetapi Kit Siang berkeras dengan keputusannya dan meminta beliau bersedia untuk bertanding di kawasan lain.

Katanya, selepas berbincang dengan keluarga dan rakan-rakan rapat, sekali lagi beliau merayu kepada parti untuk mengubah keputusan, tetapi tidak berhasil.

“Malah, saya diberitahu bahawa parti telahpun mengenal pasti calon yang akan bertanding di Bukit Bintang, kerusi Parlimen yang dianggap “selamat” untuk DAP. Orangnya ialah bekas ahli MCA, Wee Choo Keong,” katanya.

Walaupun kecewa dengan keputusan parti, pilihan yang ada ketika itu ialah berundur daripada politik dan berehat. — BebasNews

Leave a Reply