Dr Mohammad Shatar Sabran nasihat lepasan SPM semak status akreditasi program terlebih dahulu.

LEPASAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini diminta menyemak terlebih dahulu status akreditasi program yang bakal diikuti.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pemastian terbabit penting bagi mengelakkan golongan itu membazir masa dan wang mengikuti pengajian tidak diiktiraf.

Katanya, apabila pelajar menerima tawaran daripada institusi pengajian tinggi (IPT), pasti mereka mengharapkan kelayakan program akademik berkenaan mampu membantu mendapatkan pekerjaan selepas bergraduasi kelak.

“Bagaimanapun, seelok-eloknya sebelum mengikuti pengajian, lepas SPM perlu pastikan terlebih dulu program yang bakal diikuti mendapat akreditasi daripada MQA.

“Program yang sudah mendapat akreditasi pun boleh disemak dari semasa ke semasa bagi memastikan status terkininya,” katanya bersempena dengan pengumuman keputusan SPM, semalam (16 Jun).

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, cara memastikan akreditasi sesebuah program cukup mudah menerusi laman sesawang rasmi MQA iaitu www.mqa.gov.my, pelajar atau ibu bapa boleh terus semak di Daftar Kelayakan Malaysia (MQR) atau melalui aplikasi MyMQR.

Dalam senarai rujukan itu juga, katanya, terdapat semua program akademik yang ditawarkan IPT di Malaysia sekiranya sudah mendapat akreditasi daripada MQA.

“Apabila sesuatu program disenaraikan dalam MQR, anda tidak perlu risau untuk menggunakan sijil kelayakan akademik yang bakal diperoleh di peringkat sijil hinggalah ke ijazah kedoktoran bagi tujuan mencari pekerjaan atau membina kerjaya.

“Hal ini kerana akreditasi MQA bukan sahaja penting di dalam negara tetapi juga memudahkan kelayakan akademik diiktiraf di luar negara,” katanya.

Tambahnya, selain program IPT tidak diiktiraf, ada juga golongan tidak bertanggungjawab yang menggunakan program pengajian ‘ditawarkan’ kepada lepasan SPM untuk meraih keuntungan.

“Jadi, sebelum jadi mangsa, eloklah semak status program yang hendak diikuti,” katanya.

— BebasNews

Leave a Reply