Oleh Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff

DALAM Manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Pakatan Harapan (PH) berjanji jika ia berjaya menjadi kerajaan ia akan akan memberi penghormatan kepada sektor perkhidmatan awam dan meletakkan sektor perkhidmatan awam kembali ke tempat yang sewajarnya.

Begitupun, selepas menjadi kerajaan selama 22 bulan, pelbagai kenyataan dan tindakan pemimpin PH, terutamanya pemimpin DAP, menunjukkan bahawa sektor perkhidmatan awam bukan dihormati tetapi sebaliknya dikenakan tekanan, kecaman dan ugutan.

Masih kita ingat lagi betapa seorang Ahli Parlimen DAP menyifatkan penjawat awam sebagai membebankan kerajaan manakala seorang Ahli Parlimen DAP lain pula mendesak Kerajaan PH supaya mengurangkan bilangan penjawat awam di dalam negara.

Seorang lagi Ahli Parlimen DAP pula mencadangkan di Dewan Rakyat supaya Kerajaan PH melakukan pembaharuan dasar berkenaan pemberian pencen pegawai/kakitangan awam yang dikatakan membazirkan bagi mengutamakan penjimatan wang rakyat.

Seorang EXCO DAP pula menegaskan mengenai betapa Kerajaan PH tidak perlu takut untuk memecat penjawat awam sementara seorang Timbalan Menteri DAP menegaskan mengenai keperluan untuk melakukan proses pembersihan kepada penjawat awam.

Bila sahaja timbul isu yang gagal diselesaikan oleh Kerajaan PH maka penjawat awamlah juga yang dijadikan sebagai kambing hitam; timbul isu ICERD, “deep state”; timbul isu LTTE, “deep state”; timbul isu tender, “deep state”; timbul isu tatoo, “deep state”.

Yang menuduh penjawat awam mensabotaj Kerajaan PH, termasuk dikatakan sebagai punca mengapa agenda reformasi yang dirancang oleh Kerajaan PH lambat atau gagal dilaksanakan oleh Kerajaan PH juga adalah pemimpin PH, baik dari DAP, AMANAH atau PKR.

Lebih teruk dari itu, Kerajaan PH juga memindah dan menyejukbekukan (“cold storage”) sesuka hati penjawat-penjawat awam utama kerajaan yang teguh mempertahankan etika perkhidmatan awam, termasuk Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian.

Pendekatan bercorak konfrontasi yang digunakan oleh Kerajaan PH juga jelas tergambar di dalam pemberhentian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang melibatkan pertemuan antara Perdana Menteri dan penjawat awam.

MAPPA terakhir ialah MAPPA XVI pada 4 April 2018 membabitkan pertemuan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kira-kira 10,000 penjawat awam dalam mana beliau mengumumkan beberapa insentif untuk penjawat awam dan golongan pesara.

Sejak PH mengambil-alih tampuk pemerintahan MAPPA tidak lagi diadakan sebaliknya yang ada hanyalah Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 25 Mac 2019.

Perhimpunan Perdana ini paling diingati kerana kata-kata Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta CUEPACS dan jentera kerajaan ‘mengikat perut’ supaya hutang negara yang menjangkau nilai trilion ringgit angkara pentadbiran terdahulu dapat dikurangkan.

Lebih teruk lagi ialah bila pengumuman Perdana Menteri di MAPPA XVI telah tidak dihormati dan tidak dilaksanakan oleh Kerajaan PH, iaitu:
(1) Kenaikan Gaji bersamaan 1 KGT secara khas kepada semua penjawat awam berkuatkuasa 1 Julai 2018.
(2) Pemendekan kenaikan pangkat Time Based kali kedua dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2018.
(3) Penambahan Gred DG 56 bagi guru-guru Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Selain itu, sesatunya pemberian geran tahunan oleh Kerajaan PH kepada CUEPACS ialah pada tahun 2019 dengan nilai sebanyak RM1 juta sahaja, selari dengan arahan ‘mengikat perut’ Kerajaan PH, jauh berkurang daripada pemberian Kerajaan BN sebelum ini.

Paling menyedihkan ialah mengenai permohonan pemberimilikan lot tanah kerajaan di Presint 18 bagi tujuan tapak rumah kelab CUEPACS yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 15 Februari 2018.

Bila PH memerintah surat kelulusan ke atas permohonan ini didapati ‘hilang’ secara tiba-tiba dan kini hanya setelah PH tidak lagi memerintah barulah ia ditemui semula sekali gus membolehkan CUEPACS memulakan kerja bagi membina bangunan pejabat barunya.

Sejak Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri pada 21 Ogos 2021, beliau mengambil pendekatan berbeza dari PH dengan bersikap amat mesra dengan penjawat awam malah telah beberapa kali menyantuni mereka secara terbuka atau tertutup.

Ketika menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat pada 1 Mac lalu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa beliau akan memfokuskan usaha memberi wajah baharu kepada penjawat awam selain landskap baharu dalam organisasi awam.

Pada 8 April pula, Perdana Menteri meluangkan masa untuk beramah mesra dengan para pegawai tertinggi kerajaan dan penjawat awam lainnya pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Penjawat Awam di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Terbaru, pada 13 Jun, Perdana Menteri meluangkan masa lebih sejam untuk menyantuni rombongan sembilan Ahli Jawatankuasa CUEPACS yang diketuai oleh Presiden dan Setiausaha Agungnya, Dato’ Adnan Mat dan Abdul Rahman Mohd Nordin.

Dalam pertemuan tersebut, CUEPACS membangkitkan beberapa permasalahan yang dihadapi oleh penjawat awam di zaman Kerajaan PH, dan ini disambut oleh beberapa komitmen Perdana Menteri untuk membantu penjawat awam amnya dan CUEPACS khasnya.

Turut dibangkitkan ialah cadangan gaji minimum baru penjawat awam RM1800 membabitkan kumpulan Pembantu Awam dan Pembantu Operasi, Cadangan pemberian 2 Kenaikan Gaji Tahunan Khas untuk semua penjawat awam dan Sistem Saraan Baharu.

Perdana Menteri memberi jaminan akan mempertimbangkan kesemua cadangan CUEPACS ini tertakluk kepada perbincangan yang akan dibuat dengan Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Negara mengenai kesesuaian perlaksanaan cadangan tersebut.

Selain itu Perdana Menteri juga meluluskan geran tahunan sebanyak RM4 juta kepada CUEPACS, akan merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Pejabat CUEPACS selain berjanji akan menghidupkan kembali MAPPA pada Ogos atau September depan.

* Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pegawai Khas Perdana Menteri.

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply