Isham Jalil - Foto Facebook

Kenyataan Isham Jalil di laman Facebook beliau —

Baru tadi Muhyiddin nafi terima RM1.3 juta daripada UKSB.

Dia kata kononnya saksi di mahkamah beri keterangan palsu.

Saya gesa supaya pihak SPRM atau polis siasat perkara ini, sama ada ada unsur rasuah dalam pemberian dan penerimaan duit ini.

Apabila seseorang memberi keterangan di mahkamah, ia bukanlah sesuatu yang boleh diambil enteng.

Saya pasti saksi itu tentunya telah fikir panjang sebelum memberi keterangan tersebut dan dia yakin dengan kesahihan keterangannya itu, serta dia tentunya tahu jika dia beri keterangan palsu dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 7 tahun di bawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan.

Oleh itu sekiranya Muhyiddin ada terima duit RM1.3 juta ini seperti keterangan saksi di mahkamah tersebut dan ada unsur rasuah dalam penerimaan dana ini, pihak berkuasa sama ada polis atau SPRM perlu mengambil tindakan.

Tiada siapa yang patut terlepas dari jenayah.

Dulu Muhyiddin tidak pakai mask di khalayak ramai semasa PKP tetapi dia tidak didenda namun terlepas begitu sahaja walaupun orang ramai banyak yang kena saman untuk kesalahan yang sama.

Kali ini jika dia bersalah ambil rasuah RM1.3 juta, dia tidak boleh terlepas begitu sahaja lagi.

Keadilan dan pengadilan perlu terlaksana kepada semua, bukan hanya kepada yang terpilih sahaja.

Tiada siapa yang berada lebih tinggi dari undang-undang.

ISHAM JALIL
17 Jun 2022

p/s: Saya telah dimaklumkan malam nanti ramai rakyat akan membuat laporan polis berkenaan kes rasuah RM1.3 juta ini. Salam.

———

KENYATAAN MEDIA TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

1. Saya dimaklumkan tentang keterangan mahkamah yang diberikan seorang pengurus pentadbiran syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang terlibat dalam kes sogokan Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi.

2. Kononnya, syarikat tersebut telah memberikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta kepada saya di antara bulan Jun dan Ogos 2018. Ini memberikan gambaran saya juga menerima sogokan.

3. Pernyataan ini adalah palsu. Saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut.

4. Pada masa itu, saya menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut. Tugasan saya sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu. Hal ini tersebar luas dalam media massa (lihat pautan: https://www.malaysiakini.com/news/433930)

5. Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara. Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas.

6. Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya.

7. Saya juga tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan tomahan ini.

8.​ Adalah diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara ini supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadap saya sedangkan saya tegas menentang rasuah.

9. Saya juga bersedia untuk disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan ini.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
17 Jun 2022

Leave a Reply