Arwah Adibah Noor tidak suka heboh tentang penyakitnya.

PADA 8 Jun lalu, penyanyi dan pelakon Adibah Noor baru saja memuat naik foto terkininya yang kelihatan lebih kurus berbanding penampilannya sewaktu menyertai Gegar Vaganza musim kelapan (GV8).

Penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu memberitahu bahawa dia mengamalkan diet sejak dua bulan lalu dan hanya mengambil enam kali suapan untuk mendapat bentuk badan sebegitu.

Adibah juga memberitahu yang dia perlu menjaga kesihatan disebabkan faktor usia yang mencecah 52 tahun ini.

Namun umum tidak mengetahui bahawa artis versatil itu sebenarnya sudah lama menghidap kanser ovari tahap empat kerana Adibah tidak suka bercerita tentang penyakitnya itu.

Hari ini (18 Jun), apabila Datin Emylia Rosnaida, isteri Datuk AC Mizal memuat naik berita sedih tentang pemergian Adibah ke alam abadi, ramai yang terkejut.

Adibah menghembus nafas terakhirnya pada pukul 7.40 malam tadi di Hospital Gleneagles dan jenazah akan dibawa pulang ke rumah ayahnya di AU1, Keramat Permai.
Salah seorang peserta GV8, Ani Maiyuni memberitahu bahawa dia dan beberapa peserta lain tahu yang arwah menghidap kanser.

“Kami terpaksa rahsiakan kerana sebelum ini Kak Dib ada beritahu pada Ani dan juga beberapa rakan dalam GV. Dia minta kami rahsiakan dan kami tak boleh heboh dan uar-uarkan kepada semua orang yang dia sedang menanggung kesakitan.

“Dia sakit selepas habis GV. Masa nak shooting GV raya, dia start demam on and off. Lepas tu lama dia warded, kita ingatkan Covid sebab demam on and off ni.

“Bila Ani tanya dia personal, baru dia beritahu yang dia baru tahu yang dia ada kanser. Waktu tu dia baru lepas pembedahan dan perlu rehat dulu. Tak nak terima mana-mana tetamu dan dia tak ambil show.

“Yang you all tengok dia post gambar kurus tu, itu adalah show pertamanya selepas dia rehat,” kata Ani yang memegang amanah Adibah supaya tidak bercerita kepada orang luar yang dirinya sakit.

Sementara itu, Datuk Seri Najib Razak menerusi Facebook turut melahirkan rasa sedihnya dengan pemergian Adibah.

“Dunia hiburan dikejutkan dengan berita sedih. Dimaklumkan bahawa saudari Adibah Noor telah meninggal dunia. Kita kehilangan seorang ikon yang disayangi ramai. Takziah kepada keluarga arwah atas kehilangan ini. Semoga roh dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al-Fatihah,” tulisnya. — BebasNews

Leave a Reply