Bersejarah - skuadron helikopter Alouette III. Foto blogspot.com

Sambungan dari SINI

ASP Mohd Zabri dan anak buahnya sungguh marah pada kezaliman pengkhianat negara terhadap jenazah 4 anggota  EPC. Mereka nekad memburu musuh. Lantas  ASP Mohd Zabri mengarah patrol-patrol beliau untuk melakukan rondaan dan memburu kumpulan musuh tersebut yang kekuatannya dianggar lebih kurang 20 hingga 25 orang.

Salah satu patrol itu diketuai oleh Kpl Ismail bin Daud (Allahyarham), lebih dikenali sebagai ‘Ismail Rantai’ bersama lebih kurang 18 orang anggotanya. Walaupun mereka mula memburu agak beberapa hari selepas serang hendap itu berlaku, namun mereka berjaya mengesan musuh pada 3 September 1975.[i] Petualang negara terkejut kerana tanpa diduga, mereka berhadapan dengan komando PDRM bak ‘harimau kelaparan.’ “Boom…boom…boom” tembakan mortar musuh dan “bang…bang…bang.” Berlaku pertempuran antara mereka. Dalam keadaan yang terdesak dan seperti yang sudah dijangka, musuh bergegas cabut menyeberang sempadan meninggalkan harta peperangan.

Pertempuran itu telah mencederakan 2 orang anggota akibat terkena serpihan tembakan mortar. Mujurlah kecederaan tidak begitu serius dan mereka masih mampu  bergerak. Sebaik sahaja pasti musuh sudah beredar, Kpl Ismail Rantai melakukan pemeriksaan di kawasan pertempuran. Mereka telah menjumpai satu laras masing-masing 60 mm dan 40 mm mortar, satu pelancar 4 mm, 60 kg ikan salai, 5 kg beras, 4 bungkus glukosa, 15 tin kecil Milo, 2 tin besar Quaker Oats dan ubat-ubatan serta beberapa dokumen. Selain itu, mereka juga menjumpai senapang patah dan bekalan yang dirampas semasa serang hendap terhadap bot pada 28 Ogos 1975.[ii]

Sebaik sahaja mengetahui pertempuran itu, ASP Mohd Zabri bersama anggotanya pula bergegas ke lokasi pertempuran. Tetapi sudah terlewat kerana pengkhianat negara sudah berada di kawasan selamat mereka – selatan Thai. ASP Mohd Zabri tiada pilihan dan terpaksa menghentikan pemburuan. Pada 4 Ogos 1975, beliau telah mengarah semua patrol bergerak ke Fort Tapong, termasuk 2 orang anggota yang cedera. Malang tidak berbau. Pada kira-kira jam 11:00 pagi, ketika berada di tebing Sungai Kenerong, ASP Mohd Zabri telah terpijak jerangkap samar. “Boom.” Beliau mengalami cedera parah.[iii]

Markas Taktikal di Fort Tapong menghantar mesej untuk mendapatkan helikopter untuk misi casevac yang kini melibatkan tiga orang anggota. Pangkalan skuadron helikopter yang paling hampir ialah skuadron helikopter Alouette III di No 3 Skuadron, TUDM Butterworth. Justeru, tugasan casevac ini dipertanggungjawabkan kepada skuadron tersebut.

Tanpa berlengah, pesawat berlepas menuju ke lokasi. Namun mereka berhadapan dengan masalah. Mangsa-mangsa terpaksa dinaikkan melalui kaedah ‘winching’ kerana ketiadaan tempat untuk mendarat. Itu bukannya masalah. Masalahnya ialah ketebalan kanopi hutan dengan ketinggian pokok melebihi 150 kaki.[iv] Panjang kabel hoist pesawat hanya lebih kurang 80 kaki sahaja!  Ekoran itu, ASP Mohd Zabri telah mengarah Kpl Ismail Rantai dan anggotanya membuat strecer dan mengusungnya ke ‘Point Bravo’, iaitu tempat pendaratan (LP) yang dibina pada Jun 1974. Tugas mengusungnya dipikul oleh patrol Kpl Ismail Rantai dan patrol Kpl Hamzah Hashim.[v]

Allah lebih menyayanginya. Semasa dalam perjalanan ke Point Bravo, ASP Mohd Zabri telah  menyahut panggilan Ilahi. Sebelum meninggal dunia, beliau sempat berpesan kepada anggotanya supaya:

“….Teruskan perjuanganmu…hancurkan petualang negara, buru dan hancurkan mereka…biarpun diriku tiada lagi!” [vi]
Begitu hiba anggota mengusung jenazah ketua mereka. Mereka tiba di destinasi pada lebih kurang jam 3:00 petang. Helikopter Alouette III yang berlegar di ruang angkasa Point Bravo mendarat sebaik sahaja kumpulan VAT 69 tiba di LP itu.  Jenazah ASP Mohd Zabri dan 2 orang mangsa jerangkap samar diterbangkan ke Ulu Kinta.

Isteri ASP Mohd Zabri, Cikgu  Che Manis sedang mengajar di sekolah di Pulau Pinang apabila dimaklumkan untuk balik ke Markas VAT 69 di Ulu Kinta tetapi tidak diberitahu  mengapa. Tetapi beliau boleh mengagak dan sedia berhadapan dengan sebarang kemungkinan. Lantas beliau bergegas balik ke Ulu Kinta. Hujan lebat menyambut ketibaan Alouette III di Kem Ulu. Namun keadaan ini tidak menghalang para penghuni kem, termasuk  Cikgu  Che Manis, berada di padang. Ketika itulah beliau dimaklumkan bahawa suami tercintanya telah gugur![vii]

Dua minggu selepas kematian ASP Mohd Zabri, anggota VAT 69 dibawa keluar dari kawasan operasi. Tugasan itu dipertanggungjawabkan kepada sebuah Nuri. Trup diturunkan di Gerik.

Bersambung…In syaa Allah

———-

[i]           Temu bual dengan SI (B) Ismail bin Daud di Hotel Holiday Villa Alor Setar, Alor Setar, pada 17 September 2015.

[ii]           A. Navaratnam et al. (2001). The Spear.

[iii]          Temu bual dengan SM (B) Hamzah bin Hashim di Perpustakaan Awam, Ipoh pada 5 September  2014.

[iv]          A. Navaratnam et al. (2001). The Spear.

[v]           Temu bual dengan SI (B) Ismail bin Daud sebelum ini..

[vi]          Panel Penyelidik dan Penemuramah et al. (2011). Warisan Darah Perwira

[vii]       The Sun Daily. Late hero gets nation’s highest award 40 years after he was killed in action. 2 Disember 2014. Allahayarham disahkan pangkat ASP dan dianugerah  Seri Pahlawan  Gagah Perkasa (SP) pada 6 Jun 2014 secara anumerta sempena hari keputeraan DYMM SPB Yang Dipertuan Agong. Lihat http://www.thesundaily.my/news/1254692.

— BebasNews

Leave a Reply