KUALA LUMPUR — Seorang pegawai penguat kuasa ditahan reman sehari kerana disyaki meminta rasuah sebagai balasan untuk memulangkan kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) milik seorang pekerja.

Perintah reman bermula hari ini sehingga esok tersebut dikeluarkan oleh Majistret Syafiqah Noorinda ketika permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Lokap Berpusat Dang Wangi Kuala Lumpur pagi tadi.

Menurut sumber, suspek berusia 32 tahun itu ditahan di sekitar Sentul, Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 malam, semalam.

Katanya, suspek dipercayai telah meminta wang rasuah kira-kira RM1,000 daripada seorang pemilik kedai sebagai balasan untuk memulangkan kad UNHCR pekerjanya yang diambil semasa pemeriksaan dilakukan di kedainya pada 17 Mei lalu kerana disyaki sebagai penagih dadah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab. Rahman mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

— BebasNews

Leave a Reply