Konsert ini melerai rindu peminat terhadap kumpulan U.K's yang sudah mencecah 25 tahun pembabitan mereka dalam bidang seni.

MENONTON Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun di Istana Budaya semalam (17 Jun) umpama mendengar irama dari muzik jukebox yang menyajikan lagu-lagu sedap bila kita memasukkan syiling dalam kotak muzik tersebut.

Dari awal hingga akhir persembahan yang berdurasi selama dua jam itu, suara Amir ibarat ‘telan kaset’ kerana kemerduannya tetap sama seperti di awal kemunculan kumpulan tersebut pada 1986.

Untuk malam pertama, selain Amir, U.K’s yang dianggotai pemuzik asal iaitu Denil (gitar), Olley (bes) dan Amirul (dram) telah memberikan persembahan mantap seiring dengan pembabitan mereka dalam bidang seni.

Konsert yang berlangsung selama dua malam iaitu pada 17 dan 18 Jun itu turut diserikan dengan iringan String Chamber Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia.

Pada usia 53 tahun, Amir masih menyanyi menggunakan key asal untuk setiap lagu tanpa diturunkan nada.

Selain itu, persembahan U.K’s turut dibantu oleh pengarah muzik berkaliber iaitu Mohd. Rafi Shafie, Ahmad Firdaus Mahmud dan Mustafa Kamal Ahmad (Mus Satira) sebagai pemain gitar undangan.

U.K’s yang merupakan anak didik komposer Saari Amri itu memulakan persembahan dengan lagu Kau Satu-Satunya dan diikuti dengan medley, Kembali Mencari, Membara dan Berkat Kasihmu.

Memandangkan U.K’s memiliki tujuah buah album dan untuk tidak menghampakan peminat yang merindui penampilan mereka, kumpulan tersebut sedaya upaya mendendangkan sebanyak mungkin lagu untuk pendengaran ramai.

Untuk konsert yang dianjurkan oleh Mac Training Sdn. Bhd., bersama RCD Concepts Sdn. Bhd., Amir terpaksa mengumpul lagu-lagu popular U.K’s yang dijadikan medley sebanyak enam set.

Jasa Saari Amri terhadap kumpulan U.K’s tetap dikenang hingga kini.

Paling menarik segmen medley dendangan Amir, adalah sewaktu dia mendendangkan rangkaian lagu berjudul Satu Lilin Sehening Malam, Sudah Tiada Tunasnya dan Kita Akan Dijemput.

Untuk persembahan yang diiringi dengan petikan piano tersebut, penampilan Amir dari segi vokal amat berbeza. Macam tak percaya bahawa itu adalah Amir penyanyi kumpulan U.K’s kerana kawalan vokalnya begitu mantap. Ketika segmen medley lagu tersebut, penonton seakan terpukau dan menghayati persembahannya.

Namun untuk lagu U.K’s yang sudah melekat di minda peminat seperti lagu Cintaku, Berkat Kasihmu, Rhythm Si Jantung Hati, Kekasihku Di Menara, Pahit Akan Manis Akhirnya, Siapa Yang Rampas Cintamu dan Di Sana Menanti Di Sini Menunggu, Amir mempunyai ramai penyanyi latar di hadapannya.

Kumpulan U.K’s terkenal dengan irama pop rock dan kebanyakan lirik yang dihasilkan untuk lagu dendangan kumpulan tersebut, antaranya oleh Dr Azam Dungun juga sarat dengan mesej biarpun berunsur cinta.

Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun berlangsung selama dua hari, 17 dan 18 Jun 2022.

Sebagai penghargaan kepada Saari yang membawa nama U.K’s ke puncak, Amir turut berduet dengan komposer tersebut menerusi lagu Kita Sama Sahaja.

Pada usia 53 tahun, Amir atau nama sebenarnya Mohd. Azmir Muhammad Yusof, dilihat masih mampu mengadakan persembahan dengan begitu baik walaupun risau dengan keadaan tekaknya yang tidak begitu baik sebelum ini.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Maklumlah semua yang buat persembahan ni berumur lebih 50 tahun. Berjaya juga kami menghibur pemint dan atas sokongan peminat hasrat kami untuk mengadakan konsert terlaksana.

“Insya-Allah, persembahan U.K’s bukan setakat di Istana Budaya saja. Jika ada rezeki kami akan lebarkan sayap ke Singapura dan Indonesia juga. Harap sokongan semua,” kata Amir yang mula berlatih sejak Disember lalu untuk konsert Reunion ini.

Barisan tenaga produksi yang menjayakan konsert U.K’s di Istana Budaya.

— BebasNews

Leave a Reply