Pemasyhuran Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu Stadium Merdeka - Foto blogspot.com

BEBERAPA parti politik kini mencari-cari formula untuk dijadikan teras perkongsian
kuasa mereka menerusi kerjasama dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Mereka juga belum memutuskan parti mana perlu menjadi induk gabungan tersebut dan siapa harus menjadi Perdana Menteri jika ia memenangi PRU15.

Mereka tidak menyedari formula terbaik kepada perkongsian kuasanya adalah realiti demografi atau kedudukan warganegara Malaysia pada hari ini.

Perangkaan rasmi tahun 2021 mendapati Malaysia mempunyai 32.75 juta penduduk dengan 29.91 juta warganegara dan 2.84 juta bukan warganegara.

Daripada jumlah warganegara pada tahun tersebut, 20.9 juta (69.7 peratus) adalah Bumiputera, 6.7 juta (22.5 peratus) keturunan Cina, 2.0 juta (6.8 peratus) keturunan India dan 0.3 juta (1.0 peratus) lain-lain kaum.

Ini menunjukkan Bumiputera yang merangkumi umat Peribumi, Melayu dan Islam adalah warganegara terbesar di Malaysia mutakhir; sementara bukan Bumiputera adalah warganegara minoriti.

Ini berbeza dengan zaman selepas kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957, di mana jumlah Bumiputera merosot secara mendadak kepada 49.8 peratus dan warganegara bukan Bumiputera meningkat kepada 50.2 peratus.

Ini kerana penjajah British mensyaratkan Tanah Melayu hanya diberikan kemerdekaan jika penduduk asing dianugerahkan kewarganegaraan menerusi kemerdekaan tersebut.

Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj selaku Perdana Menteri terpaksa akur dengan syarat ini untuk mengelakkan kemerdekaan Tanah Melayu dicapai menerusi pertumpahan darah.

Tetapi, Tunku Abdul Rahman memperolehi perkenaan Raja-Raja Melayu serta Ratu Inggeris, dan mendapat persetujuan lain-lain kaum menerusi kontrak sosial, supaya Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf Bumiputera sebagai bangsa teras Tanah Melayu di era merdeka.

Tunku Abdul Rahman menuntut status ini kerana Bumiputera adalah rakyat majoriti dan penganut Islam terbesar di Tanah Melayu di zaman penjajah.

Ia juga selaras dengan tuntutan semasa keselamatan nasional bahawa bangsa teras atau anak watan adalah kelompok manusia terbesar di sesebuah negara, yang berkongsi warisan sejarah dan sosio-budaya, sejak berkurun lamanya.

Takrif ini menjadikan Bumiputera bangsa teras Malaysia kerana nenek moyang mereka menduduki wilayah geografi Malaysia, dalam dunia Melayu di Asia Tenggara, sejak zaman berzaman.

Status ini dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi peruntukan yang menjadi asas kepada jati diri nasional Malaysia sejak merdeka sampai sekarang.

Perkara 3 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan, Islam adalah Agama Persekutuan; dan Perkara 32 pula memaktubkan, Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Utama Negara Malaysia.

Perkara 152 menyatakan, Bahasa kebangsaan Malaysia adalah Bahasa Melayu; dan Perkara 153 memaktubkan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak; serta kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

Kebijaksanaan Tunku Abdul Rahman menyebabkan seluruh peruntukan di atas tidak berubah setelah pembentukan Malaysia menerusi percantuman Tanah Melayu dengan Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September 1963.

Tetapi, taraf Bumiputera sebagai bangsa teras, dipertikaikan oleh Lee Kuan Yew, Ketua Menteri Singapura, menerusi politik Malaysian Malaysia yang dipeloporinya pada awal tahun 1964.

Politik Malaysian Malaysia adalah berasaskan perangkaan penduduk Malaysia pada tahun 1964, dengan Bumiputera hanya 46 peratus dan bukan Bumiputera 54 peratus.

Antara tuntutan utama politik Malaysian Malaysia adalah kesamarataan hak untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama dan tahap sosioekonominya.

Secara tersirat, ini bermakna politik Malaysian Malaysia menuntut pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan, termasuk ke atas peruntukan strategik di atas.

Tuntutan ini ditafsirkan oleh banyak pihak, termasuk MCA wakil majoriti keturunan Cina, sebagai mencanggahi peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai identiti nasional Malaysia di atas.

Masyarakat Bumiputera menyifatkannya sebagai ancaman kepada keselamatan politik dan sosioekonominya, serta keselamatan identiti Islam sebagai Agama Persekutuan.

Tuntutan ini dieksploitasikan oleh anasir subversif komunis di era Konfrontasi Indonesia hingga mencetuskan dua konflik kaum di Singapura pada tahun 1964.

Akibatnya, Singapura dipisahkan daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965 kerana Tunku Abdul Rahman mahu mengelakkan seluruh Malaysia bermandi darah akibat ketegangan kaum dan agama.

Tetapi, politik Malaysian Malaysia diperjuangkan oleh DAP yang ditubuhkan untuk mengabsahkan kedudukan wakil tunggal PAP di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, selepas perpisahan tersebut.

DAP mengukuhkan perjuangan Malaysian Malaysia berlandaskan Deklarasi Setapak 1967 yang berasaskan realiti warganegara Malaysia bukan Bumiputera pada tahun berkenaan.

Politik Malaysian Malaysia DAP dieksploitasikan oleh anasir bawah tanah Parti Komunis Malaya (PKM) dalam PRU 1969 sehingga mencetuskan konflik kaum di Kuala Lumpur pada 13 Mei 1969.

Bagaimanapun, DAP meneruskan perjuangan Malaysian Malaysia sampai sekarang walaupun Bumiputera menjadi warganegara majoriti sejak tahun 1970.

Perangkaan Asia-Europe Institute mendapati, penduduk Malaysia Semenanjung pada tahun 1970 adalah 53.1 peratus Bumiputera, 35.5 peratus keturunan Cina, 10.6 peratus keturunan India dan 0.8 peratus lain-lain kaum.

Penduduk Malaysia Semenanjung pada tahun 1981 adalah 55.3 peratus Bumiputera, 33.8 peratus keturunan Cina, 10.2 peratus keturunan India dan 0.7 peratus lain-lain kaum.

Penduduk Malaysia Semenanjung pada tahun 1991 adalah 58.3 peratus Bumiputera, 29.4 peratus keturunan Cina, 9.5 peratus keturunan India dan 2.8 peratus lain-lain kaum.

Perangkaan ini membuktikan jumlah Bumiputera selaku warganegara majoriti Malaysia meningkat sejak 1970, dan warganegara bukan Bumiputera semakin merosot jumlahnya.

Ini sebabnya, seperti dihuraikan di atas, Bumiputera pada tahun 2021 adalah 69.7 peratus, keturunan Cina 22.5 peratus, keturunan India 6.8 peratus dan lain-lain keturunan satu peratus.

Perangkaan tahun 2010 pula mendapati 61.3 peratus warganegara Malaysia beragama Islam, 19.8 peratus penganut Budha, 9.2 peratus Kristian, 6.3 peratus Hindu, dan 1.3 peratus penganut Confucianisme, Taoisme serta lain-lainnya.

Naratif di atas wajar menjadi asas kepada dinamika demokrasi dan corak perkongsian kuasa antara parti politik Malaysia selepas PRU15.

Menerusi formula ini, parti politik Peribumi dan Islam wajar menjadi induk kepada tatacara perkongsian kuasa antara parti politik Malaysia mulai sekarang, dan pemimpin parti tersebut harus dijadikan Perdana Menteri Malaysia selepas PRU15.

DAP yang dibentuk berasaskan realiti warganegara bukan Bumiputera pada tahun 1967 tidak boleh lagi menuduh parti Peribumi dan Islam sebagai pengkhianat kepada Pakatan Harapan (PH).

Sebaliknya, komponen PH perlu menerima realiti demografi Malaysia mutakhir sebagai asas perkongsian kuasanya dengan Perikatan Nasional (PN) yang meninggalkan PH untuk memperkasakan perjuangan Peribumi dan Islam di Malaysia yang majmuk.

Rumusannya, perkongsian kuasa antara parti politik bukan Barisan Nasional (BN) perlu menjadikan realiti demografi Malaysia mutakhir sebagai paksi perjuangannya, dan sebagai teras kepada seluruh dasarnya selepas PRU15.

— BebasNews

Leave a Reply