PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan 2 Jun sebagai Hari Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara yang akan disambut secara tahunan.

Sambutan itu katanya, sebagai menghargai sumbangan pelbagai pihak berkaitan TVET selain bersempena penubuhan Politeknik Ungku Omar iaitu institusi penyedia TVET terawal negara sejak 1969.

“Hari ini, satu lagi pencapaian dicipta dengan pelancaran Pelan Penjenamaan TVET Nasional dan penganjuran Sambutan Minggu TVET Negara yang merupakan antara tindakan dalam Pelan Penjenamaan TVET Nasional.

“Sambutan Minggu TVET Negara tahun ini bermula sejak Sabtu lalu dengan pengisian yang bermanfaat seperti seminar dan forum melibatkan pelbagai kementerian, penyedia TVET awam dan swasta serta pihak industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Minggu TVET Negara 2022 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor.

Program bersama Ikon TVET dan pameran berkaitan peluang pendidikan dan kerjaya dalam TVET turut disediakan termasuk temu duga mencari kerja secara terbuka, kata Ismail.

“Saya ingin melihat sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang 2025, seperti yang ditetapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” ujarnya.

Menurut Perdana Menteri, bilangan pelajar aliran vokasional dan teknikal di negara maju adalah tinggi umpamanya Jerman, TVET menjadi satu sistem pendidikan utamanya sehingga 70 peratus pelajarnya memasuki aliran vokasional.

“Begitu juga di Asia seperti Korea Selatan yang berjaya bangkit dengan pantas daripada kemusnahan perang untuk muncul sebagai kuasa besar ekonomi hasil pengukuhan pendidikannya termasuk bidang TVE,” katanya.

Justeru kerajaan katanya, menetapkan TVET sebagai antara perkara yang perlu diberikan keutamaan bagi memacu pembangunan ekonomi negara.

“TVET dikenal pasti sebagai satu daripada 14 pemacu perubahan dalam RMK12 kerana sudah sampai masa TVET menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan,” katanya.

Pelbagai strategi juga kata Ismail, telah digariskan termasuk menangani isu pertindihan dan merombak tadbir urus TVET, mempromosikan jenamanya selain meningkatkan kualiti program dan mewujudkan pangkalan data.

“Kerajaan turut memperkukuhkan penawaran program berorientasikan industri dan memperhebatkan penglibatan industri secara aktif bagi menyediakan graduan yang menepati keperluan mereka.

“Kesedaran orang ramai terhadap pekerjaan sektor TVET yang memerlukan kemahiran spesifik dan menawarkan sumber pendapatan tinggi sudah meningkat tetapi belum mencapai tahap yang disasarkan.

“Dalam usaha memperkasakan TVET, penjenamaan dan reputasinya perlu dipertingkatkan dan ini memerlukan usaha lebih jitu bagi mengukuhkannya secara holistik.

“Anjakan paradigma mesti dilakukan bagi meningkatkan persepsi positif dengan sokongan ibu bapa, belia dan industri terhadap TVET,” kata beliau.

Terdapat banyak platform media sosial yang boleh dimanfaatkan secara optimum bagi mempromosi TVET termasuk memaparkan kejayaan graduan dan alumni TVET sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya pilihan, ujarnya.

Pihak industri kata beliau, diseru menjadi rakan kongsi strategik dengan turut mempromosikan TVET kepada Keluarga Malaysia seperti menonjolkan peluang kerjaya dalam industri dan membenarkan pelajar membuat lawatan ke industri mereka.

Langkah ini dapat meningkatkan daya tarikan ramai sekali gus menjadikan TVET pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkemahiran tinggi, katanya.

“Agenda Pemerkasaan TVET yang diterajui Majlis TVET Negara (MTVET) menggariskan beberapa inisiatif yang berimpak besar dan strategik seperti pewujudan Hab Kolaborasi TVET (TCH) dan penubuhan Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC atau Government-Industry TVET Coordination Body).

“Aspek akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan program TVET harus ditambah baik. Pendedahan perlu dilaksanakan seawal usia muda supaya anak-anak kita lebih celik tentang potensi laluan kerjaya TVET,” katanya.

Kerajaan telah melaksanakan pelbagai bentuk intervensi bagi menyediakan peluang pendidikan yang lebih luas untuk Keluarga Malaysia, termasuk mengadakan Program Penajaan Pendidikan, jelasnya.

Secara umumnya tambah beliau, terdapat beberapa strategi penajaan pendidikan yang telah dilaksanakan seperti pinjaman pendidikan, pinjaman boleh ubah, dermasiswa, biasiswa dan bantuan kewangan.

“Dalam konteks program hari ini, keprihatinan Kerajaan terhadap TVET diserlahkan dengan pembiayaan tinggi, 80 peratus penyedia TVET awam menawarkan program TVET secara percuma.

“Bagi 2019 hingga 2021, sebanyak 171,412 program TVET pada peringkat Diploma dan Sarjana Muda telah ditawarkan.

“Bagi meningkatkan motivasi dan galakan pelajar untuk memilih bidang TVET, Kerajaan bersetuju melaksanakan Program Dermasiswa B40 TVET, khusus untuk pelajar B40 yang mengikuti pengajian dalam bidang TVET di IPTA bawah seliaan KPT tahun ini,” kata Ismail.

Pengambilan pertama menurutnya, akan melibatkan 1,000 orang pelajar dan Kerajaan menjangkakan program ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM36.41 juta bagi setiap pengambilan.

“Saya yakin, program ini menawarkan lebih banyak peluang kepada anak-anak Keluarga Malaysia, terutamanya daripada kumpulan B40 mendapat akses pendidikan di peringkat lebih tinggi, seterusnya membina kerjaya dalam bidang TVET,” katanya.

 

 

Leave a Reply