Konsert Endemik Search berlangsung dua malam di Zepp Kuala Lumpur.

RATA-RATA peminat yang menonton Konsert Endemik Search di Zepp Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Jun lalu serta Konsert Search Rockin’ On Rooftop di bumbung Kompleks Campbell, Jalan Dang Wangi pada 11 Jun melahirkan rasa puas hati.

Amy pada usia 64 tahun dilihat masih mampu beraksi dengan begitu baik bersama Hillary Ang (gitar), Man Kidal (gitar) dan Nasir Daud (bes).

Manakala, kumpulan Search yang dianggotai oleh Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bes), Denden (penyanyi) dan Minn (dram) tetap mendapat pujian kerana penampilan vokalis dari Bandung, Indonesia itu amat bertenaga.

Belum habis kedua-dua kumpulan tersebut bercerita tentang penat lelah mereka menjayakan konsert yang mendapat sambutan hebat itu, tiba-tiba mereka bakal dikejutkan dengan berita daripada Afjets Sdn. Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amrul Nizar Anuar berkata, kejayaan yang diraih oleh anggota Search menerusi dua konsert yang berbeza itu menarik perhatian pihaknya untuk menuntut hak mereka.

Amrul Nizar Anuar (kanan) menggunakan khidmat peguam Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates.

Jelasnya, hampir lima tahun syarikat Afjets bersabar dan menantikan respon daripada pihak kumpulan Search tetapi tiada maklum balas.

Untuk makluman, pada 18 Ogos 2017, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengarahkan tiga anggota kumpulan Search iaitu Nasir Daud, Noordin Mohd Taib (Din) dan Hamzah Mohd Taib (Kid) membayar hampir RM500,000 sebagai ganti rugi khas kepada Afjets kerana melanggar perjanjian berhubung pembatalan konsert mereka.

Kata Amrul Nizar, Afjets selaku penaja dan penganjur yang menyaman ahli-ahli kumpulan tersebut pada tahun 2017 setelah Konsert Search 35 yang sepatutnya diadakan pada tahun 2016 dibatalkan oleh ahli-ahli kumpulan tersebut.

“Syarikat Afjets memberi tempoh tujuh hari kepada anggota-anggota kumpulan Search yang terlibat untuk mengemukakan pembayaran untuk ganti rugi khas yang telah ditentukan oleh pihak mahkamah sebelum melakukan aktiviti-aktiviti selanjutnya.

Kid (kiri) dan Din sewaktu menjayakan Konsert Rockn’ On Rooftop, baru-baru ini.

“Gant irugi am akan menyusul kemudian. Afjets juga diputuskan berhak untuk menerima ganti rugi am yang belum ditaksirkan, yang dijangka tidak kurang daripada RM1 juta.

“Pihak syarikat tidaklah kejam malah memberi tempoh yang agak lama supaya kumpulan Search berpeluang menjana dan mengukuhkan ekonomi kumpulan tersebut.

“Afjets sudah memberikan tempoh yang agak lama untuk kumpulan Search mengatur semula kedudukan kewangan mereka. Kami beranggapan penganjuran dua konsert berasingan baru-baru ini dan pengumuman siri konsert yang berikutnya membayangkan kumpulan Search kini sudah kembali ke landasannya dan boleh melunaskan segala komitmen kewangannya yang tertunggak,” katanya.

Tegasnya, Afjets juga mengambil perhatian pada pengumuman pihak pengurusan Search yang dianggotai oleh Din dan Kid mengenai siri konsert jelajah Malaysia, Singapura dan Indonesia yang dijadual akan berlangsung antara Ogos 2022 hingga Mac 2023.

Pengumuman itu mengejutkan dan Afjets memandang serius kerana sehingga ini, selepas hampir lima tahun, pihak syarikat masih lagi menunggu maklum balas daripada pihak kumpulan Search mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu.

Afjets dengan ini mengarahkan peguamnya, Datuk Adnan Seman dari Tetuan Adnan Sharida & Associates untuk melaksanakan dengan segera perintah Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Ogos 2017, termasuk berhubung dengan pihak pengurusan Search sekarang.

Atas nasihat peguam, Afjets tidak mengemukakan tindakan terhadap penyanyi asal Search Suhaimi Abd Rahman (Amy) pada masa itu kerana dia telah muflis. Afjets juga difahamkan pada masa ini bekas pemain gitar bes Search, Nasir juga telah muflis. — BebasNews

Leave a Reply