Foto ras.mv
Susunan Syahir Kassim

JENTERA jentolak yang dicipta sejak 100 tahun lalu sebagai medium pembangunan bagi sesebuah negara untuk membina rumah, pejabat, jalan raya dan infrastruktur asas lain, kini dijadikan ‘alat politik’.

Beberapa tahun lalu, banyak pihak melihat jentera berat itu telah dijadikan ’senjata’ oleh kerajaan India nasionalis Hindu, Parti Bharatiya Janata (BJP) untuk memusnahkan rumah dan menyekat mata pencarian masyarakat minoriti Islam.

Jentera berat itu baru-baru ini dilihat ‘berkeliaran’ di Uttar Pradesh, sebuah negeri yang penting dari sudut politik, lapor BBC.

Pihak berkuasa di bandar Prayagraj (dahulunya Allahabad) telah merobohkan rumah aktivis politik, Javed Mohammad kerana didakwa membina kediaman itu secara haram dan dakwaan berkenaan dinafikan keluarga aktivis berkenaan.

Para pengkritik yang membantah tindakan pihak berkuasa berkata, perobohan itu tiada kaitan dengan dakwaan bangunan tersebut menyalahi undang-undang.

“Dia (Javed) sedang dihukum kerana lantang mengkritik kerajaan,” katanya.

Sehari sebelum perobohan, polis telah menangkap dan menuduhnya sebagai dalang di sebalik protes ganas umat Islam terhadap kenyataan kontroversi mengenai Nabi Muhammad oleh bekas jurucakap BJP, Nupur Sharma.

Sharma sebelum ini digantung daripada parti, tetapi penunjuk perasaan menuntut dia ditahan.

Pemimpin BJP bagaimanapun mempertahankan tindakan mereka dengan menyatakan apa yang dilakukan tidak bertentangan dengan undang-undang.

Tindakan kerajaan India itu dilihat menyamai penggunaan jentera berat oleh regim Israel di wilayah Palestin telah dikritik di India dan menjadi tajuk utama di seluruh dunia.

Dalam satu langkah yang jarang berlaku, bekas hakim dan peguam terkenal menulis surat kepada ketua hakim negara yang mengatakan penggunaan jentolak adalah suatu subversif kedaulatan undang-undang yang tidak boleh diterima.

Mereka menggesa mahkamah untuk bertindak terhadap keganasan dan penindasan terhadap rakyat beragama Islam. — BebasNews

Leave a Reply