
MALAYSIA meraih 31 pingat emas daripada 60 kategori yang dipertandingkan dalam Kejohanan Gusti Lengan Asia 2022 yang berlangsung selama dua hari sejak kelmarin di Paradigm Mall, Petaling Jaya, Selangor.
Antara penggusti lengan yang menepati ramalan dengan mengharumkan nama negara ialah bekas juara Kejohanan Dunia 2019 – Joffey Jolly (senior lelaki 70 kilogram) dan juara Kejohanan Kebangsaan 2021 – Calveen Petrus (senior lelaki 105kg ke atas).
Joffey menewaskan atlet India, Deepankor Mech dalam perlawanan akhir tangan kanan kategori itu manakala Calveen menumpaskan rakan senegara, Mohd. Nor Shyefful Hafiz Duan.

Seorang lagi atlet yang mengalungi Malaysia pingat emas ialah Muhammad Asri Mohd. Anuar selepas mengatasi rakan senegara, Alvian Ally dalam final senior lelaki 57kg.
Agak malang ialah tertewasnya dua lagi ayam tambatan Malaysia, Safuan Asif yang juga naib juara Kejohanan Dunia 2019 dan Jake Chia apabila masing-masing sekadar meraih pingat perak dan gangsa kategori 63 dan 95kg.
Safuan tewas kepada Manoj Debnath dari India pada final manakala Jake disekat oleh Kyle Cummings juga dari India dalam separuh akhir.


Gelaran keseluruhan tangan kanan pula menjadi milik penggusti lengan Korea Selatan, Baek Seong-yeol selepas menundukkan Kevin Tsai dari Taiwan selain menghampakan Calveen dalam separuh akhir.
Joffey yang turut bertarung pada kategori ini, tewas seawal pusingan pertama lagi, kepada Pranjit Saikia dari India.
Penganjur, Persekutuan Gusti Lengan Malaysia (MyArm) menjadikan kejohanan ini sebagai medan pemilihan pasukan negara ke Kejohanan Dunia Persekutuan Gusti Lengan Antarabangsa (IFA) di Dieppe, Perancis pada 28 September hingga 1 Oktober ini.
Turut dipertandingkan MyArm ialah kategori junior (bawah 15 tahun), belia (bawah 18 tahun), master (40 dan 50 tahun ke atas) dan grand master (60 tahun ke atas) serta wanita (termasuk tangan kiri).



[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.