Mohd. Azmi Abdul Hamid

SHAH ALAM — Masalah paling serius yang dihadapi oleh pelarian pada masa ini adalah perlindungan hak mereka di negara tuan rumah.

Menurut Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid, pelarian hidup dalam persekitaran yang berterusan terdedah kepada eksploitasi dan penafian hak asasi manusia.

“Akses mereka kepada keperluan asas secara amnya dinafikan di samping kesukaran esktrim yang mereka hadapi, isu xenofobia semakin meningkat di negara-negara yang mereka mencari perlindungan.

“Kerajaan mudah gelisah dengan sentimen penduduk tempatan yang tidak mengalu-alukan pelarian. Kepentingan negara seolah-olah melebihi hak asasi manusia pelarian,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena sambutan Hari Pelarian Antarabangsa semalam.

Mohd. Azmi berkata, walaupun Mapim mengiktiraf keperluan untuk hak kepulangan semua pelarian namun pihaknya menyeru semua negara yang menerima pelarian untuk mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi hak mereka mengikut undang-undang antarabangsa.

“Kebolehcapaian kepada penjagaan kesihatan, tempat tinggal, keperluan asas, dokumentasi, pendidikan, peluang untuk mencari rezeki, kebebasan bergerak, amalan agama, harus disediakan.

“Pada hari ini, Hari Pelarian Antarabangsa, kami menggesa organisasi multinasional untuk bekerjasama dengan kerajaan di negara yang melindungi hak pelarian.Penglibatan yang positif dan membina harus diutamakan,” katanya.

Jelasnya lagi, pembinaan dasar yang lebih berperikemanusiaan berkaitan dengan pelarian harus dilaksanakan.

Mengulas lanjut pihaknya berkata, pihaknya amat prihatin terhadap kes negara-negara tertentu menyekat akses untuk pelarian yang mengakibatkan kematian golongan tersebut yang tinggi di darat dan laut.

“Di samping itu kami juga menekankan tentang kepentingan akses kepada pendidikan untuk kanak-kanak pelarian. Ia adalah hak asasi untuk semua kanak-kanak untuk dididik seperti yang termaktub dalam Pendidikan adalah hak asasi manusia, termaktub dalam Konvensyen Hak Kanak-kanak 1989 dan Konvensyen Pelarian 1951.

“Kami percaya pendidikan bukan sahaja melindungi kanak-kanak dan belia pelarian daripada dipaksa rekrut kedalam kumpulan bersenjata, buruh kanak-kanak, eksploitasi seksual dan perkahwinan kanak-kanak, ia juga jaminan untuk mereka menentukan masa depan mereka,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply