Pesara TLDM naib juara Menembak IPSC, Makassar dengan pistol sewa

ZUL-MAJDI Saari (dua dari kiri) menayangkan Jalur Gemilang di podium pingat perak.  

HANYA dengan membuat latihan harian kecergasan seperti berlari dan berbasikal, Zul-Majdi Saari tetap mampu mengharumkan nama Malaysia dengan muncul naib juara Kejuaraan Menembak Reaksi (Kapolda) Tahap 2 Piala Sulawesi Selatan 2022 di Makassar, Indonesia yang berakhir kelmarin.

Pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu turut cuma berbekalkan pengalaman 12 tahun menembak ketika dalam perkhidmatan, untuk meraih pingat perak kejohanan anjuran Konfederasi Menembak Praktikal Antarabangsa (IPSC) itu malah bertanding dengan senjata sewaan.

Dia memperoleh 800.9650 mata berbanding juara, Sonny Prabowo dari Indonesia dengan 861.5635 mata manakala pemenang tempat ketiga ialah Kahnalim juga penembak tuan rumah, 775.4511 mata dalam saingan 35 peserta.

Zul-Majdi, 41, mantan Pegawai Waran II TLDM juga merupakan naib juara kategori sama dalam kejohanan IPSC di Yogjakarta, tiga tahun lalu.

ZUL-MAJDI Saari (tengah) menerima hadiah sebagai naib juara. – Foto ZMS

“Cabaran utama di Makassar ialah mengendalikan senjata yang disewa dengan selamat. Saya juga tidak memiliki senjata dalam kejohanan itu tetapi masih perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa senjata sewaan itu dengan cepat.

“Saya juga hanya merujuk video dua penembak Rusia, Maria Gushchina dan Eric Grauffel dalam laman YouTube bagi mendapatkan teknik dan senjata yang tepat.

“Mereka macam inspirasi saya. Selain itu saya bertukar pendapat dengan rakan penembak lain,” katanya yang diundang Polis Bhayangkara untuk mewakili Persatuan Menembak Clay Target Johor (JCTSA) dan IPSC Malaysia dalam kejohanan yang disertai 500 anggota polis dan orang awam.

ZUL-MAJDI (kiri) hanya menyewa senjata untuk bertanding dalam Kapolda Piala Sulawesi Selatan 2022 ini. – Foto ZMS

Kata Zul-Majdi, kejohanan IPSC ini merupakan yang pertama disertainya sejak bersara daripada TLDM pada 2020 malah tidak menyangka masih mampu muncul naib juara apatah lagi kerana sudah dua tahun dia tidak berlatih menembak.

“Pertandingan menembak di Indonesia sangat mencabar kerana para pesertanya lebih banyak mendapat pendedahan hampir setiap bulan.

“Petua lain saya ialah menanam keyakinan diri dan minat sekalipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk kembali aktif dalam sukan ini,” kata bekas penembak TLDM dari 2010 hingga 2020 dalam kategori Production yang kini turut bergiat sebagai jurulatih.

SIJIL penghargaan dan hadiah yang diraih Zul-Majdi Saari sebagai naib juara Kapolda Piala Sulawesi Selatan 2022. – Foto ZMS
KERTAS catatan mata yang dipungut Zul-Majdi Saari dalam Kapolda Piala Sulawesi Selatan 2022. – Foto ZMS

Leave a Reply