Filem 35mm, karya kedua arahan Syahmi Sazli bersama Senibayan.

SELEPAS kejayaan filem arahan sulungnya, Mael Totey The Movie yang diterbitkan pada 2020, kini pengarah muda berbakat besar iaitu Syahmi Sazli tampil dengan filem kedua berjudul 35mm.

Untuk karya kedua, Syahmi bukan sekadar mempertaruhkan jalan cerita yang berkonsepkan pengembaraan masa atau ‘time travel’, malah turut padat dengan aksi mendebarkan dan hasil produksi berkualiti tinggi dengan penggunaan teknik CGI.

Menerusi 35mm kita dapat menyaksikan kemampuan Syahmi sebagai pengarah kreatif dalam menghasilkan filem. Malah untuk filem yang diarah bersama Senibayan itu, Syahmi tetap mengekalkan Yoe Parey dan Suhaimi sebagai pelakon utama.

Dia yang turut berlakon dalam filem tersebut dengan memegang watak sebagai Syahmi, cuba membawa penonton mengimbau evolusi dan budaya masyarakat tempatan yang bermula dari zaman Dinasti Cina.

Tiga serangkai, dari kiri Yoe Parey, Syahmi Sazli dan Asif Suhaimi.

Dari Dinasti Cina kemudian memasuki zaman jajahan Jepun dan British, era kegemilangan sukan badminton pada tahun 90-an, imbau kenangan aktiviti zaman kanak-kanak sebelum hadirnya pelbagai teknologi. Ia juga bagi membuatkan ceritanya lebih mudah untuk diikuti dan difahami.

Idea asal 35mm adalah daripada Syahmi dan menerusi filem berdurasi 1 jam 47 minit ini, meskipun sarat dengan babak aksi namun watak yang diketengahkan tidak akan menghampakan penonton kerana diselit dengan adegan-adegan komedi yang mencuit hati. Malah nilai persahabatan di antara mereka turut diterapkan.

Syahmi selaku pengarah, cerita asal dan pelakon melahirkan rasa gembira kerana akhirnya filem terbaharu arahannya bakal menemui penonton pada Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 21 Jun 2022.

“Rentetan daripada sambutan positif dan komen membina daripada orang ramai untuk filem Mael Totey The Movie, ia menyuntik semangat untuk saya menyahut cabaran terus berkarya menghasilkan filem.

Tiga sahabat ini menggembara ke beberapa era zaman dan pelbagai adegan lucu berlaku.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Penerbit Nine Flix Production kerana meletakkan keyakinan terhadap idea ini, dan terima kasih juga kepada pihak Astro kerana membuka ruang platform untuk mempersembahkan filem 35mm,” katanya teruja.

Sementara itu, bercakap mengenai cabaran dalam pengarahan, Syahmi mengakui penggunaan teknik CGI bukan ‘forte’ utamanya.

“Untuk filem ini banyak yang saya pelajari dan harap hasilnya boleh diterima ramai. Manakala, antara cabaran lain adalah membimbing Yoe dan Asif untuk menjiwai watak dan berlakon dalam situasi yang lebih serius.

“Seperti umum tahu, sebelum ini skrip lakonan kami lebih bersahaja tetapi berbeza menerusi 35mm. Saya mengharapkan 35mm dapat mengubati rindu peminat terhadap konten daripada kami serta filem ini dapat menghiburkan ramai penonton,” katanya tentang filem yang menjalani penggambaran di Pulau Pinang.

Selain mereka antara yang membintangi filem 35mm adalah Kenji Sawahii, Puteri Kapitan Hung, Hushairy Hussein , Melanie Tan, Ainul Yakin, Mohammad (Abe Mat), Xing Hu, MN Badri, Wea Selamos, Mamu Abu dan ramai lagi.

Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya amat teruja apabila diberi kepercayaan sekali lagi untuk memasarkan filem arahan Syahmi di platfrom Astro First.

“Melihat hasil akhir filem 35mm, kami yakin ia mampu memperlihatkan transisi berbeza Syahmi dalam pengarahan dan sudut penceritaan, yang mana ia bukan menghidangkan sekadar jalan cerita santai tetapi turut mengajak penonton menghayati pengorbanan generasi lalu, di samping menikmati babak aksi dan CGI yang memukau.

“Kami berharap karya 35mm mampu mengulangi kejayaan filem Mael Totey The Movie serta dapat meneruskan lebih banyak kerjasama bersama Syahmi di masa akan datang,” kata Raja Jastina.

Filem 35mm mengisahkan tentang tiga sahabat, Syahmi, Asif, Yoe yang terperangkap dalam penggembaraan ke beberapa zaman berlainan selepas membeli sebuah kamera antik.

Antara zaman yang dilewati adalah pada tahun Dinasti Cina, zaman jajahan Jepun, pemerintahan British. Setiap era yang dilewati pasti mempunyai cabaran yang perlu mereka hadapi bagi meloloskan diri.

Apabila mereka berada di tahun 1997, Yoe merasa hiba kerana buat pertama kali berjumpa ibu bapanya. Namun mereka perlu kembali di tahun 2020 walau apa cara sekalipun.

Jangan lepaskan peluang untuk melanggan 35mm Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 21 Jun 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam secara berulang-ulang. — BebasNews

Leave a Reply