Azmin Ali - Foto Wikipedia

KUALA LUMPUR — Parti Keadilan Rakyat (PKR) memutuskan tidak mengadakan sebarang perbincangan kerjasama dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali susulan dakwaan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu bertemu dengan beberapa pimpinan parti.

Menurut Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berlangsung pada malam tadi.

“MPP juga memutuskan bahawa PKR tidak akan berbincang atau bekerjasama dengan Azmin Ali, yang dianggap oleh anggota, penyokong parti serta orang ramai sebagai salah satu punca utama berlakunya pengkhianatan Langkah Sheraton,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu media melaporkan, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dipercayai bertemu dengan dua wakil PKR di sebuah hotel, di sini.

Mohamed Azmin bagaimanapun mengatakan beliau tidak dapat mengingati hotel mana yang dikunjungi dan siapa yang ditemui pada minggu lalu berikutan jadual kerjanya yang padat.

Sementara itu, Fahmi memaklumkan, MPP juga memutuskan supaya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengumumkan secara rasmi saf kepimpinan yang baharu di peringkat Cabang dan pimpinan utama dalam masa terdekat, setelah selesai proses aduan serta audit dilakukan.

Jelasnya, saf kepimpinan baharu itu perlu bergerak pantas, sederap dan dalam satu pasukan yang kukuh bagi menghadapi musuh-musuh politik PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“MPP memutuskan bahawa Kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR akan diteruskan pada 15 Julai 2022, bertempat di IDEAL Convention Centre (IDCC) Shah Alam. Kongres Nasional juga akan diteruskan pada 16 dan 17 Julai 2022.

“Kongres kali ini akan menumpukan kepada kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi PRU15 dan pembubaran Parlimen yang boleh berlaku pada bila-bila masa selepas 31 Julai ini,” katanya. — BebasNews

Leave a Reply