TIDAK seperti si adik yang pulang awal selepas hanya tiga perlawanan Kumpulan C Piala Asia Bawah 23 Tahun, Harimau Malaya sebaliknya berpeluang lebih cerah untuk mengintai slot fasa kalah singkir pusingan akhir Piala Asia, tahun depan.

Masih ada ‘talian hayat’ buat skuad negara kendalian Kim Pan-gon sekalipun mungkin gagal muncul sama ada sebagai juara atau naib juara kumpulan asalkan mengutip mata yang memuaskan di tempat ketiganya.

Senario pusingan akhir pasti jauh berbeza dengan Kelayakan Piala Asia 2022 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, minggu lalu di mana skuad negara menamatkan penantian 42 tahun untuk layak selaku naib juara Kumpulan E.

‘SAHAM’ Kim Pan-gon (dua dari kiri) dan barisan penolongnya termasuk E. Elavarasan (kiri) semakin melonjak dengan kejayaan Harimau Malaya layak ke Piala Asia 2023. – Foto FAM

Anak-anak buah Pan-gon menumpaskan Turkmenistan 3-1 namun dikalahkan Bahrain 2-1 sebelum bangkit membelasah Bangladesh 4-1 di Bukit Jalil pada 8, 11 dan 14 Jun lalu.

Antara 24 pasukan pusingan akhir Piala Asia Ke-18 dari 16 Jun hingga 16 Julai 2023 itu, enam turut layak ke Piala Dunia 2022 di Qatar, November ini iaitu tuan rumah, Australia, Iran, Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi.

Tuan rumah baharu Piala Asia 2023 selepas penarikan diri China, Februari lalu, hanya akan diketahui 17 Oktober ini manakala undian 24 pasukan pusingan akhir, bakal dijalankan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Disember ini.

Selain pasukan di dua tempat teratas daripada keenam-enam kumpulan, empat lagi pasukan terbaik di tempat ketiga turut akan mengiringi mereka ke pusingan kedua atau digelar pusingan 16 terbaik sebelum disaring kepada lapan pasukan suku akhir.

Format ini dikekalkan AFC seperti mana pusingan akhir Piala Asia 2019 yang menyaksikan Qatar menjuarainya setelah menewaskan Jepun 3-1 di Abu Dhabi, Amiriah Arab Bersatu (UAE).

AKSI Malaysia (kuning hitam) dan Bahrain pada 11 Jun lalu merupakan yang paling getir dan mendebarkan dalam Kumpulan E kelayakan malah membayangkan senario serupa dalam Piala Asia, Jun tahun depan. – Foto FAM

Jiran Asia Tenggara kita, Vietnam turut lolos ke suku akhir namun disekat Jepun 1-0 setelah di bawah format pertandingan sama pusingan kedua, mengejutkan Jordan menerusi penentuan penalti 4-2.

WINDSOR Paul (kiri) di tempat duduk tetamu kenamaan menyaksikan Harimau Malaya menentang Bangladesh di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 Jun lalu. – Foto FAM

Awal bulan ini, skuad belia negara terkandas seawal peringkat kumpulan Piala Asia B23 lagi ekoran deretan tiga kekalahan, 4-1 kepada Korea Selatan selain dengan Thailand 3-0 dan Vietnam 2-0 di Uzbekistan.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul berkata kepada BebasNews hari ini, “peraturan pertandingan sama (seperti 2019). Tiada perubahan.

“Belum ada tarikh majlis undiannya tetapi (amalan) biasanya (dilangsungkan) lima atau enam bulan sebelum pertandingan (juga) selepas kami memilih tuan rumah,” katanya.

KEGEMBIRAAN skuad negara kerana layak boleh dilupakan sebaik sahaja tiba pusingan akhir Piala Asia 2023 yang jauh lebih getir dan berbeza. – Foto FAM

Leave a Reply