SAFEE Sali (10) ketika beraksi dalam Piala AFF 2016. – Foto FAM

SAFEE Sali tidak menolak jika kelabnya, Kuala Lumpur City FC mempunyai perancangan untuk meminjamkannya kepada pasukan lain Liga Super bagi mendapatkan lebih banyak minit bermain sekali gus mencerahkan peluang menyarung semula jersi Harimau Malaya.

Bekas ‘Harimau Berantai’ Malaysia ini turut berfikiran positif untuk menyertai skuad negara kendalian Kim Pan-gon terutama menjelang Piala AFF, hujung tahun ini dan pusingan akhir Piala Asia 2023 biarpun dengan dirinya yang semakin dipanjat usia 38 tahun.

Penjaring terbanyak yang turut membantu Harimau Malaya menjulang Piala AFF 2010 ini mengakui, agak mustahil untuk dipanggil Pan-gon selagi jarang bermain dalam kesebelasan utama KL City FC pada Liga Malaysia mahupun Piala AFC yang bermula Jumaat ini.

“Saya rasa masih ada lagi (keinginan). Semangat saya juga tidak akan pudar selagi saya belum mengumumkan persaraan dalam bola sepak. (Justeru) perancangan (dipinjamkan kepada pasukan lain) harus dibuat awal apabila tiba jendela perpindahan pemain.

”Agak mustahillah untuk saya dipanggil (pasukan negara) kalau daripada segi minit permainan (di KL City FC) kurang mencukupi,” katanya yang kali terakhir bersama Harimau Malaya pada 22 Mac 2017 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Filipina.

SAFEE Sali (tengah) menayangkan koleksi utama digital NFT berjudul Passion. Kiri ialah Yong-chul Yun dan Nicholas Chuan daripada PSI. – Foto PSI

Safee ditemui pada majlis pelancaran ‘Sepuluh’ NFT (Non-fungible token), 10 koleksi digital yang akan dilelong mulai hari ini melalui pasaran NFT digital; OpenSea dengan kerjasama Prime Sports International (PSI) di Kuala Lumpur.

Dua lagi alasan mengapa dia juga wajar dipertimbangkan ialah  Pan-gon pernah memanggil bekas gandingannya dalam Piala AFF 2010, Norshahrul Idlan Talaha, 36, ke kem latihan menjelang persahabatan dengan Brunei dan Hong Kong serta Kelayakan Piala Asia, baru-baru ini.

“Saya lihat pasukan kita ketandusan posisi No. 9, seorang penyerang di depan gol. Yang penting berikan saya minit permainan secukupnya dalam kelab dan liga, akan saya buktikan kemampuan saya,” katanya.

Mengenai Harimau Malaya di bawah jurulatih warga Korea Selatan itu, katanya, “kehadiran ramai pemain teras seperti daripada JDT (Johor Darul Ta’zim FC) membolehkan pasukan menerapkan taktikal dan corak permainan yang dikehendakinya.

“Mereka memainkan peranan dalam pasukan kebangsaan kerana sudah terbiasa dengan corak mengasak dan berkepesatan tinggi. Saya pun sangat teruja tengok persembahan pasukan di bawah Pan-gon,” kata pengulas sambilan sebuah stesen TV ini ketika kelayakan itu.

SAFEE Sali (tengah) menjawab soalan wakil media pada majlis pelancaran. – Foto PSI

Namun skuad Pan-gon katanya tidak lagi boleh terbawa-bawa dengan kejayaan layak itu kerana menanti mereka dalam pusingan akhir Piala Asia ialah seperti mana pengalamannya dalam edisi 2007 juga di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Safee yang menganggotai skuad kendalian Norizan Bakar ketika itu yang dibenam China 5-1, Uzbekistan 5-0 dan Iran 2-0, menambah, “memang kita harus menyiapkan pasukan kita dengan lebih kuat dan lebih rapi pada tahun depan.

“Semua sudah tahu kita akan bertemu gergasi-gergasi Asia yang memang getir (namun) saya rasa keyakinan pasukan yang bertambah apabila layak itu, akan turut membantu.

“Untuk setaraf China atau Iran masih jauh walaupun tidak mustahil dan tuah undian pada peringkat kumpulan juga sangat memainkan peranan (peluang dan prestasi Harimau Malaya),” katanya.

SAFEE Sali (tengah) menayangkan koleksi utama digital NFT berjudul Passion. Kiri ialah Yong-chul Yun dan Nicholas Chuan daripada PSI. – Foto Abdul Hafiz Ahmad

 

Leave a Reply