SEMBILAN hari lalu, Harimau Malaya membaham Bangladesh atau digelar Harimau Bengal 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil sekali gus memastikan kemaraan ke Piala Asia 2023 sebagai naib juara Kumpulan E kelayakan pusingan ketiga.

Hari ini di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal, Dhaka, giliran skuad wanita Bangladesh pula yang membelasah Harimauwati Malaya 6-0 dalam perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa.

Seolah-olah membalas dendam dan melepas geram, Harimauwati Bengal membolosi gawang pelawat bertubi-tubi menerusi Mossamat Akhi Khatun pada minit kesembilan dan 29, Sabina Khatun (25), Mossamat Sirat Jahan (44), Monika Chakma (66) dan Srimoti Krishnarani (73).

Keterangan gambar atas: Bangladesh (jersi hijau) berpesta meraikan jaringan mereka terhadap Malaysia. – Foto FAM

Berdasarkan senarai terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), hari ini, wanita Malaysia menduduki ranking ke-85 dunia manakala Bangladesh, 146.

BENTENG Malaysia, Siti Nurfaizah Saidin (15) cuba mengasak penyerang Bangladesh, Mosammat Sirat Jahan Shapna. – Foto FAM

Siri persahabatan ini merupakan sebahagian persediaan Malaysia dalam menghadapi Kejohanan Wanita AFF 2022 di Binan City, Filipina pada 4 hingga 12 Julai ini.

Harimauwati Malaya dijadualkan terbang ke sana pada 1 Julai ini dengan perlawanan pertamanya dalam Kumpulan A, menentang Singapura, 4 Julai diikuti Indonesia (6 Julai), Filipina (8 Julai); Thailand (10 Julai) dan Australia (12 Julai).

Namun kekalahan besar ini mencetuskan tanda tanya sejauh mana kesiapsiagaan dan kemampuan pasukan wanita kita selepas tidak berpeluang beraksi dalam Sukan SEA Vietnam 2022 di Hanoi, bulan lalu.

Kali terakhir mereka menikmati aksi antarabangsa ialah ketika mengalahkan Palestin 2-0 di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat dalam Kelayakan Piala Asia Wanita AFC pada 22 September 2021.

Mereka juga dikalahkan pemenang Kumpulan H kelayakan itu yang berpengalaman Piala Dunia Wanita FIFA, Thailand 4-0 pada 19 September 2021.

PEMAIN Harimauwati Malaya, Jessica Susanne (9) mengejar bola dalam kawalan perantara tuan rumah, Monika Chakma. – Foto FAM
KESEBELASAN utama wanita Malaysia yang diketuai Steffi Sarge Kaur Sidhu (berdiri, kanan). – Foto FAM

 

Leave a Reply