SYAMER Kutty Abba (14) antara tonggak Harimau Malaya yang menyerlah dalam Kelayakan Piala Asia. – Foto FAM

RANKING dunia Harimau Malaya melonjak tujuh anak tangga, dari ke-154 kepada 147, menurut senarai terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), hari ini.

Pencapaian mendadak oleh skuad kendalian Kim Pan-gon ini dipengaruhi kejayaan layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 sebagai naib juara Kumpulan E pusingan ketiga kelayakannya di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 Jun lalu sekali gus menamatkan penantian 42 tahun.

Mereka bermula pada 8 Jun lalu dengan menumpaskan Turkmenistan 3-1 namun dikalahkan Bahrain 2-1, tiga hari kemudian sebelum bangkit membelasah Bangladesh 4-1 untuk menyertai 23 pasukan lain memburu Piala Asia.

Ketiga-tiga lawan menduduki kini masing-masing menghuni ranking ke-85, 135 dan 192 dunia.

Skuad negara turut membelasah Brunei 4-0 dan Hong Kong 2-0 dalam dua perlawanan persahabatan tahap 1 antarabangsa juga di Bukit Jalil pada 27 Mei dan 1 Jun lalu sebagai persediaan menjelang kelayakan.

SAFAWI Rasid (11) membuktikan kehebatannya dengan jaringan dalam siri persahabatan dan kelayakan. – Foto FAM

Kali terakhir ranking yang membabitkan 211 negara ahli gabungan ini dikemaskinikan FIFA ialah pada 31 Mac lalu.

Ketika itu kutipan mata skuad Pan-gon dengan ranking ke-154, diambil kira daripada kemenangan 2-0 terhadap Filipina dan ditewaskan Singapura 2-1 dalam persahabatan Siri Tiga Negara, 23 dan 26 Mac lalu di Stadium Nasional, Singapura.

Namun dalam kalangan pasukan rantau Asia Tenggara, Malaysia masih berada keempat di belakang Vietnam (ke-97) dan Thailand (111) yang turut layak ke Piala Asia selain Filipina (134) manakala bagi Asia, ke-26.

FIFA akan mengemaskinikan ranking berkenaan seterusnya pada 25 Ogos ini.

Harimau Malaya berpeluang memperbaiki ranking itu dengan dua lagi perlawanan persahabatan menurut kalendar antarabangsa FIFA 2022 iaitu dari 19 hingga 27 September.

Misi antarabangsa mereka seterusnya ialah Piala AFF 2022 yang tuan rumahnya belum dipastikan dan dijadualkan penghujung tahun ini selepas pusingan akhir Piala Dunia di Qatar dari 21 November hingga 18 Disember.

LA’VERE Corbin-Ong (22) banyak bekerja keras bertahan dan menyerang untuk Harimau Malaya. – Foto FAM
HARIMAU Malaya akan menghadapi siri persahabatan tahap 1 antarabangsa dan Piala AFF 2022 pada September dan Disember ini. – Foto FAM

 

Leave a Reply