“KERANA pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa!”

“Pisang berbuah dua kali.”

Dua pepatah Melayu yang pasti cukup dimengerti Wan Mohd. Husni Abdullah (gambar atas, kiri dan pengadil Filipina, Roy B. Fabay).

Setelah digantung lima tahun daripada sebarang kegiatan sepak takraw namun dilepaskan beberapa bulan kemudian, kini Debab (julukannya) kembali dikenakan hukuman itu sehingga 8 Disember 2024.

Penggantungan semula terhadapnya yang berkuat kuasa hari ini, dijatuhkan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) kerana kenyataannya yang memburuk-burukkan nama baik badan induk itu.

Husni merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) selain Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans).

“Pada 8 April lalu jam 10 hingga 11.30 pagi di pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Bukit Jalil, Husni mendakwa bahawa Presiden Astaf, Abdul Halim Kader telah melakukan tugasnya secara bersendirian dan tidak mengikut peraturan.

“Dia juga membuat tomahan bahawa tiada sebarang mesyuarat pun diadakan ketika Astaf membuat keputusan menyingkirkan PSM daripada menjadi ahli gabungan persekutuan itu (20 Mei 2021),” kata Halim dalam kenyataan media, hari ini.

ABDUL Halim Kader, Presiden Astaf yang juga Setiausaha Agung Istaf.

Husni yang mulanya didapati bersalah memaki Fabay ketika perlawanan antara regu Malaysia dan Thailand dalam Sukan SEA Filipina pada 8 Disember 2019 di Gimnasium Subic lalu digantung lima tahun mulai sehari kemudian.

Ketika itu, dia juga menjadi pengurus pasukan wanita Malaysia.

Dia walau bagaimanapun dilepaskan daripada hukuman berkenaan pada 26 Ogos 2021 dengan syarat tidak akan mengulangi kelakuan buruk itu dan mematuhi segala undang-undang dan peraturan Astaf dan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) serta dilarang menyertai Sukan SEA Vietnam, bulan lalu.

Husni dalam kejadian 8 April itu, bersama dua lagi pegawai PSM dan seorang peguam untuk mengadakan perjumpaan dengan Pesuruhjaya Sukan, Ibrahim Mohd. Yusof dan para pemimpin Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) diketuai Presidennya, Datuk Indera Suhaili Abdul Rahman serta wakil Majlis Sukan Negara (MSN).

Astaf tegas Halim, menggesa agar tindakan tatatertib tersebut dijadikan teladan dan pengajaran kepada lain-lain pegawai sepak takraw di seluruh dunia sekali gus diingatkan agar tidak sesekali  mencemarkan nama baik dan imej sukan ini.

ABDUL Halim Kader (kiri) dan Wan Mohd. Husni Abdullah selepas insiden memaki pengadil Sukan SEA Filipina 2019 di Subic.

 

Leave a Reply