smoker, man, smoking
Photo by omaralnahi on Pixabay Gambar hiasan
Oleh Ahmad Salmi Mohd Junid

DIKHABARKAN, Kementerian Kesihatan Malaysia akan membentangkan Akta Kawalan Tembakau yang baharu pada bulan Julai nanti. Sememangnya Akta ini amat ditunggu tunggu kerana ini merupakan peluang untuk Kerajaan benar-benar membuktikan bahawa mereka memahami landskap terbaharu dan langkah-langkah memerangi tabiat merokok.

Sebagai seorang perokok tegar yang kini sudah hampir berjaya meninggalkan tabiat buruk ini (hampir berjaya kerana saya masih menghisap curut), ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan dalam menggalakkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia menghindari tabiat merokok.

Pertama, Kerajaan perlu sedar dan fokus untuk melawan rokok. Walaupun setelah beberapa dekad mengadakan kempen anti-merokok, sepertinya masih hampir 5 juta orang penduduk di Malaysia yang merokok. Jumlah ini masih sama dua dekad lalu walaupun harga sekotak rokak sudah melambung naik lebih 4 kali ganda. Mana silapnya? Ternyata strategi yang digunakan kerajaan sebelum ini tidak berkesan. Kelihatan lebih kerap mesej kerajaan untuk menolak rokok, semakin membuak-buak keinginan untuk rakyat merokok. Wang yang dibelanjakan untuk kempen anti-merokok berpuluhan mungkin ratusan juta sejak tahun 1990-an. Semakin tinggi cukai yang dikenakan kerajaan, semakin menjadi-jadi kegiatan penyeludupan rokok haram. Mana silapnya?

Kedua, menyedari bahawa alternatif kepada rokok sudah begitu banyak di pasaran. Rokok biasa tidak sama dengan produk-produk alternatif yang semakin popular seperti vape, rokok elektronik mahupun produk tembakau lain yang hanya dipanaskan yang popular di Jepun dan Korea. Produk alternatif memerlukan undang-undang yang berbeza dan jelas. Jangan jadi seperti Singapura, di mana, Kerajaan negara kepulauan itu mengharamkan alternatif kepada rokok yang sekaligus melihat generasi muda masih terpalit dengan gejala tersebut. Kerajaan perlu mengiktiraf peranan alternatif rokok dalam mengurangkan tabiat merokok. Rakyat perlu diberi ruang untuk memahami kesan beralih kepada produk alternatif ini dan lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk mengesahkan

Ketiga, pendekatan mengurangkan kemudaratan produk tembakau atau Tobacco Harm Reduction (THR) yang bukan sahaja melibatkan penggunaan produk-produk alternatif tembakau perlu diarus perdanakan. Pendekatan ini hangat diperdebatkan dalam komuniti pakar kesihatan namun jika kita lihat kepada negara-negara seperti United Kingdom yang mengarusperdanakan pendekatan tersebut terdapat penurunan yang ketara dalam bilangan perokok tegar. Menurut Pengarah Urusan Datametrics Research and Information Centre (DARE), Pankaj Kumar dalam satu video temubual yang viral baru-baru ini, jika pendekatan THR digunakan di Malaysia, kelaziman merokok dapat dikurangkan dari 5 mata peratusan sehingga 12 mata peratusan dari 21 peratus dari rakyat yang merokok hari ini- iaitu sehingga 880,000 orang. Ini mampu membawa penjimatan lebih RM 1 billion setahun kepada kos rawatan yang ditanggung kerajaan hari ini. Jadi jika kerajaan benar-benar serius tentang mengurangkan bilangan perokok tegar, sepatutnya Kerajaan perlu mengambilkira pendekatan-pendekatan alternatif seperti THR.

Masanya telah tiba untuk kita mengadakan dialog yang inklusif antara semua pihak untuk mencari penyelesaian yang tepat kepada gejala merokok. Baru-baru ini, dalam satu tinjauan oleh firma penyelidikan bebas Povaddo di komisyenkan oleh satu syarikat tembakau, Philip Morris International seperti yang dilaporkan di akhbar-akhbar tempatan- ke atas lebih 44,000 individu dewasa di 22 negara termasuk Malaysia menunjukkan persetujuan kukuh dalam kalangan responden (88 peratus) bahawa apabila membuat keputusan yang mempengaruhi kehidupan sebahagian besar penduduk, pemimpin mesti mendengar dan membela rakyat yang mereka wakili.

Melihat dengan teliti keputusan khusus pasaran, responden Malaysia percaya akibat daripada wacana yang semakin berpecah-belah ialah kelaziman maklumat salah yang semakin meningkat, dalam beberapa kes, bertujuan untuk mengelirukan pendapat umum.Keputusan daripada tinjauan ini menunjukkan kepentingan kepada orang ramai tentang keputusan yang dibuat berdasarkan sains dan fakta serta kepentingan akses kepada maklumat mengenai alternatif bebas asap rokok:

• 81 peratus daripada populasi umum umur sah dari segi undang-undang dewasa di Malaysia percaya keputusan yang memberi kesan kepada masyarakat dan kesihatan awam harus berdasarkan sains dan fakta.

82 peratus daripada populasi umum umur sah dari segi undang-undang dewasa mengharapkan pemimpin menerima pakai undang-undang dan peraturan berdasarkan fakta dan data untuk mengikuti rentak perubahan dan inovasi teknologi.

• 71 peratus daripada populasi umum umur sah dari segi undang-undang dewasa bersetuju bahawa perokok yang sebaliknya akan terus menghisap rokok harus mempunyai akses kepada, dan maklumat yang tepat tentang, alternatif bebas asap rokok yang dibuktikan secara saintifik sebagai pilihan yang lebih baik daripada terus merokok.

Persetujuan untuk menyediakan akses kepada, dan maklumat tentang, produk alternatif bebas asap rokok adalah kukuh walaupun dalam kalangan bukan pengguna, yang menunjukkan sokongan luas masyarakat untuk pendekatan dasar ini. Namun, di sebalik ini, terdapat keinginan daripada orang ramai untuk pihak berkepentingan untuk bersama-sama mencari penyelesaian yang pragmatik. Apa yang lebih menarik, sebanyak 77 peratus percaya bahawa adalah lebih baik jika pemimpin meneruskan perubahan dasar yang akan membawa perubahan tambahan yang mudah dilaksanakan dan bukannya perubahan meluas, menyeluruh yang lebih sukar untuk dilaksanakan. Mungkin ada yang menganggap keputusan ini “bias” kerana dibayar oleh syarikat tembakau, namun, dapatan dan rumusan daripada kajian tersebut agak logik dan masuk akal.

Jika kita benar-benar berpegang kepada data dan sains seperti mana yang dihujahkan kerajaan untuk vaksin Covid-19, apakah kita tidak boleh menggunakan pendekatan dan hujah menggunakan data dan sains yang sama untuk mengkaji keberkesanan produk alternatif tembakau untuk mengurangkan rokok? Kerajaan mempunyai peluang yang amat besar dalam memerangi rokok melalui Akta Kawalan Tembakau yang baharu ini, jangan disia-siakan peluang ini dengan pemikiran yang sempit dan tidak mengambilkira tren yang sedang berlaku di serata dunia dengan generasi masa kini. Fahami perubahan persekitaran dan terapkan nilai “mendepani masa” dalam mencari penyelesaian terhadap gejala merokok.

Cyberjaya

(Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak mewakili BebasNews.)

— BebasNews

Leave a Reply