Wednesday, July 6, 2022
Home Berita/News Larang GLC beri dana kepada parti politik, PM diberitahu

Larang GLC beri dana kepada parti politik, PM diberitahu

Ahli Majlis Peguam, Andrew Khoo, berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob boleh mengeluarkan pekeliling pentadbiran melarang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menderma kepada parti politik.

PETALING JAYA — Majlis Peguam mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mengeluarkan pekeliling pentadbiran melarang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) menderma kepada parti politik.

Pengerusi bersama Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam, Andrew Khoo, berkata langkah itu menunjukkan perdana menteri ikhlas mahu melaksanakan reformasi pendanaan politik.

“Perubahan undang-undang tidak diperlukan dalam mengeluarkan pekeliling pentadbiran menyatakan GLC tidak boleh menderma kepada mana-mana parti politik, hanya perlu keputusan Jemaah Menteri sahaja.

“Sekiranya perdana menteri ikhlas mahu melakukan reformasi pendanaan politik, itu satu cara boleh dilaksanakan sekarang,” katanya dalam persidangan pendanaan politik.

Beliau berkata demikian sebagai menyokong isu dibangkitkan pakar ekonomi, Edmund Terence Gomez, dalam persidangan itu berhubung larangan menyeluruh pendanaan politik daripada GLC.

Gomez berkata, GLC berdepan “permasalahan” kerana dikawal beberapa ahli politik berbeza dan kerajaan negeri.

Bulan lalu, Ismail menyatakan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah, bersetuju secara prinsip rang undang-undang pendanaan politik.

Katanya, rang undang-undang itu penting bagi kawal selia pendanaan politik dan menghalang risiko rasuah serta salah guna kuasa oleh ahli politik, yang boleh menjejaskan imej negara.

Sumber asal —  https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2022/06/23/larang-glc-beri-dana-kepada-parti-politik-pm-diberitahu/

— BebasNews

Leave a Reply