Foto dan Video SYED YUSOF WAFA

KALI pertama saya bertemu dan menemubualnya pada tahun 1981 ketika itu saya bertugas sebagai wartawan hiburan Mingguan Malaysia. Kedatangan saya disambut dengan baik oleh beliau yang ketika itu bersama keluarga menetap di Kampung Maxwell (kini PWTC), Kuala Lumpur.

Masih segar di ingatan saya pada pertemuan itu beliau menghidangkan air teh ‘O’ panas dan biskut bunga aising. Biskut itu bukan sahaja nampak cantik dalam pelbagai warna aising tetapi sedap!

INILAH biskut aising yang dihidangkan bersama air teh ‘O’ ketika saya menemuramah M. Daud Kilau 41 tahun dahulu.

Selepas pertemuan itu, sememangnya saya tidak pernah berjumpa beliau lagi kerana sering dipindahkan dari satu meja ke meja lain meskipun masih bertugas sebagai wartawan hiburan.

 

Namun begitu sikap ramahnya menjawab setiap soalan saya ketika pertemuan pertama itu membuatkan saya tidak mampu menolak apabila youtuber popular yang juga pemilik WAFA TV, Syed Yusof Wafa mengajak saya ke Bagan Datuk menemui figura yang hanya sekali saya bertemu secara ‘in person’ 41 tahun dahulu.

Baru-baru ini seperti yang dijanjikan saya berpeluang bertemu beliau di rumahnya di Kampung Sungai Balai Baruh, Bagan Datuk, Perak. Beliau mula menetap di Bagan Datuk sejak awal tahun 1987.

Sesampainya di sana ketika mencuri pandang dari balik pintu utama rumahnya, hati saya tersentuh melihat sesosok tubuh yang suatu waktu dahulu begitu hebat bergelek ketika menyanyi kini khabarnya lebih banyak menghabiskan waktunya di atas katil yang terletak di satu sudut ruang tamu rumahnya yang berdepan dengan tiga pintu homestay miliknya.

Dengan penuh hormat saya memberi salam dan memperkenalkan diri sambil memberitahu setelah 41 tahun berlalu, inilah kali kedua saya datang bertemunya untuk menulis kisah terkini mengenai dirinya.

Beliau yang bagaikan terkesima seketika dengan perlahan bertanya, “Kenapa lama sangat baru datang berjumpa semula?”

M. Daud Kilau hari ini

Itulah Raja Gelek Malaysia, Datuk M. Daud Kilau yang pernah saya kenal dahulu…seorang yang baik budi bahasanya dan begitu menghormati tetamu walaupun lebih muda daripadanya.

Sebagai menjawab pertanyaannya saya sekadar memberitahu disebabkan tugas dan sering bertukar ‘tempat’ beliau faham dan menjemput saya duduk di kerusi di depan katilnya.

Mengatur langkah dengan perlahan saya duduk di kerusi berhampiran katil yang telah enam tahun menjadi teman setianya sejak beliau diserang pelbagai jenis penyakit pada tahun 2016.

Pada usianya yang akan mencecah 84 tahun pada 9 Julai ini, M. Daud Kilau walaupun lebih banyak berbaring apa yang pasti minatnya dalam bidang seni tidak pernah luntur.

Namun beliau reda menerima ketentuan takdir yang kini lebih banyak terbaring kerana masalah kesihatannya yang tidak membenarkan beliau menyanyi untuk menghiburkan para peminatnya.

“Di sinilah dunia saya hari ini. Sejak enam tahun lalu saya lebih banyak menghabiskan waktu di katil ini kerana keadaan kesihatan saya yang tidak mengizinkan.

“Lapan puluh lima peratus daya kekuatan saya sudah hilang. Kini saya lebih banyak terbaring kerana mengidap pelbagai penyakit antaranya kebas kaki dan tangan, kencing manis, sakit pinggang, jantung tidak stabil dan pendengaran pun kurang jelas,” kata M. Daud Kilau yang pernah menjalani pembedahan angioplasty kerana injab jantung sempit di Institut Jantung Negara pada tahun 2020.

Bagi M. Daud Kilau biarpun pergerakannya terbatas dan terpaksa menggunakan tongkat untuk bergerak namun tidak pernah sekalipun beliau meratapi keadaannya itu.

Beliau yang telah melayari hidup sebagai anak seni lebih empat dekad setelah menjuarai Bintang Radio pada tahun 1968 dan mempunyai hampir 20 album dengan album pertamanya “Anakku Yang Pertama” diterbitkan pada tahun 1972, tidak pernah menyesali takdir yang telah ditentukan-Nya.

Sebaliknya penerima Anugerah Penyanyi Lelaki Popular Papita 1979 mensyukuri rahmat yang diberikan kepadanya kerana masih boleh bernafas dan melaksanakan kewajipan yang dituntut agama.

TUN Abdul Razak (Allahyarham) meminati lagu “Anakku Yang Pertama” ketika M. Daud Kilau menyanyikan lagu tersebut dalam satu program RTM sempena hari lahir beliau.

M. Daud Kilau, datuk kepada sembilan cucu terdiam seketika apabila saya bertanya kisah dan kenangannya bersama Perdana Menteri Malaysia yang kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak sambil bertanya,

“Awak tahu cerita tu ya?”

Dengan perlahan saya mengangguk sambil berkata, “Ya Datuk.”

Beliau yang ketika itu sedang bersiap untuk menerima kedatangan tetamunya, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dengan tenang bercerita;

“Sampai saat ini saya masih terkenang Tun Razak. Mana boleh saya melupakan seorang pembesar negara meminati lagu dan mahukan album saya itu.

“Dalam usia begini walaupun saya tidak ingat tahunnya tetapi peristiwa bersejarah dan kenangan manis sepanjang saya bergelar anak seni…tidak mungkin saya melupakannya dan semuanya bermula ketika program berlangsung di Auditorium Besar Angkasapuri, Kuala Lumpur.

“Saya adalah salah seorang penyanyi yang membuat persembahan dalam program sempena hari lahir Tun Razak dan lagu pilihan saya adalah ‘Anakku Yang Pertama.’

“Saya tidak menduga mendapat penghargaan daripada pemimpin negara kerana lagu itu. Saya terpana seketika apabila penerbit program berkenaan menyampaikan hasrat Tun Razak yang mahukan album itu.

“Meskipun mulanya saya tertanya-tanya pada diri sendiri mengapa Tun Razak sukakan lagu itu, tetapi akhirnya saya berpendapat mungkin kerana lirik dan melodinya.

M. Daud Kilau bersama album yang mengabadikan lagu “Anakku Yang Pertama” yang dihadiahkan kepada Tun Abdul Razak (Allahyarham).

“Walaupun memori indah itu telah berlalu lebih 40 tahun lalu namun ianya bagaikan baru semalam saya alami. Memori itu tidak pernah padam daripada ingatan saya sementelah mendapat penghargaan daripada pemimpin nombor satu negara.

“Betapa tidak ketika itu saya terlalu baru dalam dunia seni dan baru punya dua album. Namun saya selalu ingat pesan orangtua-tua tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.”

Disebabkan terlalu gembira dan bersyukur kerana begitu dihargai, esoknya beliau menghubungi pihak yang bertanggungjawab dan setelah tarikh dan waktunya ditetapkan M. Daud Kilau ke Sri Perdana.

Apabila ditanya bagaimana reaksi Tun Abdul Razak apabila menerima album berkenaan, M. Daud Kilau berkata;

“Saya tidak dapat berjumpa beliau kerana sebagai Perdana Menteri tugas dan tanggungjawabnya berat. Setelah menyerahkan album berkenaan di bilik pengawal kediaman rasmi PM, saya balik.

“Walaupun saya tidak berpeluang bertemunya namun minatnya pada lagu nyanyian saya itu adalah satu penghargaan dan kenangan paling indah sejak 45 tahun menjadi penyanyi!

“Saya amat bersyukur kerana dapat menghadiahkan album berkenaan kepada Perdana Menteri Malaysia ketika itu,” cerita M. Daud Kilau sambil tersenyum.

Menurut M. Daud Kilau lagu “Anakku Yang Pertama” adalah lagu saduran dari filem Hindustan. Kemudian lagu itu telah dirakamkan oleh Rhoma Irama dengan tajuk “Anakku Pertama”

M. Daud Kilau bersama “Anakku Yang Pertama” Noraini yang kini berusia 53 tahun.

Bagaimanapun apabila merakamkan lagu berkenaan beliau telah mengubah tajuknya kepada “Anakku Yang Pertama” sebagai tanda syukur diatas kelahiran anak pertamanya, Noraini dengan Allahyarham isteri, Asmah Mohd. Noh yang meninggal dunia pada April 1980. Bersama Allahyarham Asmah, beliau dikurniakan tiga orang anak iaitu Noraini, 53, Ahmad Zaini, 51, dan anak bungsu, Norhayati (meninggal dunia sejak kecil).

M. Daud Kilau bersama dua anaknya, Noraini dan Ahmad Zaini

Setelah dua tahun isterinya meninggal dunia beliau mengahwini, Datin Rohani Awang Ngah dan mereka mempunyai seorang anak, Ahmad Nazri yang kini berusia 30 tahun dan bekerja di Kuala Lumpur.

Menurut M. Daud Kilau, walaupun sudah tidak boleh menyanyi sejak enam tahun lalu namun beliau masih menerima undangan menyanyi.

“Syukur alhamdulillah kerana penganjur masih mengingat saya tetapi maaf saya terpaksa menolak. Mungkin mereka masih ingatkan saya kerana saya sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur. Kalau kita terlalu demand kita harus fikirkan penganjur pun nak cari makan.

“Saya amat bersyukur sepanjang 45 tahun menyanyi saya sentiasa beringat untuk bekalan hari tua,” kata M. Daud Kilau.

Apabila ditanya harapan beliau, M. Daud Kilau dengan tenang berkata;

“Jika Allah bagi kesihatan yang baik saya ingin menghiburkan para peminat saya. Tetapi jika sudah sampai masanya saya pergi, saya reda.”

Sementara itu, “Anakku Yang Pertama.” Noraini,53, yang dilahirkan pada tahun 1969 apabila ditanya mengenai lagu tersebut berkata;

SETELAH dua tahun tidak dapat beraya bersama kerana pandemik Covid-19, kegembiraan jelas terbayang di wajah M. Daud Kilau (duduk berbaju coklat) dan isteri, Rohani Awang Ngah (duduk bertudung hitam) ketika mwnyambut kepulangan anak-anak, menantu dan cucu-cucu baru-baru ini.

“Saya rasa amat bertuah dan terima kasih kerana Abah merakamkan lagu itu untuk saya. Abah sememangnya seorang ayah dan datuk yang penyayang bukan sahaja kepada saya, Angah (Ahmad Zaini) dan Ahmad Nazri malah Abah amat menyayangi kesemua sembilan orang cucu-cucunya.

“Semasa tinggal di Kampung Maxwell, Mak mengajar budak mengaji, ramai juga. Abah pulak kalau tak ada show mengambil alih tugas Mak dengan mengajar mengaji.

“Tetapi mereka lebih suka mengaji dengan Mak (Arwah) mereka tak suka Abah mengajar mengaji sebab…Abah garang!,” cerita Noraini sambil ketawa.

Menurut Noraini, beliau amat bersyukur setelah berakhirnya pandemik Covid-19 beliau dapat menjenguk dan beraya dengan Abahnya dan Mak setelah dua tahun mereka ‘terpisah!’

– BebasNews


 

Anakku Yang Pertama

Nyanyian Datuk M. Daud Kilau

Kini aku gembira
Yang kutunggu t’lah tiba
Anakku lahir sudah
Hai anakku yang pertama

Sungguh cantik rupanya
Lirik wajah ibunya
Betapa bahagia
Hai dengan kehadirannya

Kau kujadikan raja
Di dalam rumah tangga
Kucurahkan semua
Hanya untukmu, sayang
Buah hati, wahai permata
Besarlah kau segera
Anakku yang pertama

Kini aku gembira
Yang kutunggu t’lah tiba
Anakku lahir sudah
Hai anakku yang pertama

Kau kujadikan raja
Di dalam rumah tangga
Kucurahkan semua
Hanya untukmu, sayang
Buah hati, wahai permata
Besarlah kau segera
Anakku yang pertama

Kini aku gembira
Yang kutunggu t’lah tiba
Anakku lahir sudah
Hai anakku yang pertama, hmm hmm
Oh anakku yang pertama, hmmm
Anakku yang pertama

Leave a Reply