SHAH ALAM — Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar nama Persiaran Institut, Seksyen 1 ditukar kepada Persiaran Tun Arshad Ayub.

Sempena nama Pengarah Pertama Institut Teknologi MARA (ITM kini Universiti Teknologi MARA (UiTM)) Allahyarham Tun Dr. Arshad yang meninggal dunia minggu lalu.

Pihak Istana Alam Shah memaklumkan titah Sultan Sharafuddin itu sudah diluluskan dan akan dikuatkuasakan serta merta oleh kerajaan Selangor menerusi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Nama persiaran itu merangkumi jalan sepanjang 1.62 kilometer yang bermula dari Bulatan Bistari Seksyen 2 hingga ke persimpangan lampu isyarat Seksyen 7.

“Penukaran nama itu bagi mengenang jasa Allahyarham Tun Arshad sebagai tokoh pendidikan disegani dan banyak berjasa memperkasakan sistem pengajian tinggi di negara ini terutama UiTM,” jelas kenyataan itu hari ini.

Tun Arshad, 93, menghembuskan nafas terakhirnya di KPJ Damansara Specialist Hospital pukul 2.06 pagi, 14 Jun lalu dan jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, di sini.

Mengulas lanjut, Sultan Sharafuddin menyifatkan Tun Dr. Arshad Ayub sebagai tokoh pelopor inovasi pendidikan dan pentadbiran yang sukar dicari ganti.

Usaha Allahyarham disifatkan baginda sebagai mempunyai visi dan pandangan jauh dalam merancang sesuatu perkara selain berpendirian kejayaan cemerlang boleh dicapai dengan usaha bersungguh-sungguh serta komitmen berterusan. — BebasNews

Leave a Reply