Dari kiri peguam, Ashmadi Othman, A Aida dan pengarah, Riza Baharudin pada sidang media, hari ini.

PENERBIT Datuk A. Aida kesal dengan sikap tidak profesional pelakon Amelia Handerson dan Idris Khan yang menarik diri daripada penggambaran drama terbitannya pada saat akhir.

Menurut  pemilik A. Aida  Production  Sdn. Bhd. (AAP) itu, kedua-dua pelakon tersebut sudah menandatangani kontrak dan telah menerima bayaran sebanyak lima peratus untuk berlakon dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

“Kita dah sign kontrak lama, dan mereka juga  dah ambil bayaran lima peratus. Paling saya tak boleh terima bila Idris beritahu dia ambil drama ini sebab Amelia, jadi bila Amelia tarik diri, dia tarik diri sama.

“Sepatutnya mereka menjalani penggambaran pada 16 Jun lalu, namun mengambil keputusan untuk menarik diri sebagai hero dan heroin pada malam 15 Jun,” jelas A. Aida pada sidang media yang diadakan di Restoran Rebung, hari ini (24 Jun).

Tegas Aida, bukan sifatnya mahu memujuk atau merayu kerana sudah beberapa kali pengarah Riza menghubungi mereka.

Amelia Handerson tarik diri pada saat akhir.

“Nak pujuk itu tidaklah, no way… Banyak kali pengarah, Riza telefon tapi tak angkat. Jadi kami anggap memang mereka tak mahu.

“Masa skrip reading…datang, dah briefing karakter masing-masing, lagipun kita dah bayar semua peralatan, lokasi dah bayar semuanya, beratus ribulah. Ini satu juta punya projek,” katanya tanpa berselindung.

Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 52, tampil bersama pengarah drama terbabit, Riza Baharudin dan peguam daripada syarikat guaman Zulpadli & Edham, Ashmadi Othman pada sidang media yang diadakan.

Katanya, dialah yang mempopularkan nama Amelia dan Idris dengan pelbagai drama hit tempatan dan tidak sangka ini balasan yang diterimanya.

“Nama Amelia meletup sebab drama saya iaitu Kisah Cinta Kita. Idris pula berlakon dengan produksi saya, selepas diperkenalkan oleh Fattah Amin.  Daripada kayu, seorang model, tak pernah berlakon, dengan AAP lah berlakon lepas satu, satu.

“Saya tak sangka dia berperangai macam ni, sangat tak profesional,” katanya lagi.

Riza pula berkata, dia sudah mengambil langkah memujuk kedua-duanya namun panggilan tidak berbalas.

“Ikutkan masa pembacaan skrip, dua-dua berminat. Tapi bila pihak Amelia kata skrip tak memenuhi kehendak dia, dia tarik diri.

“Saya cuba untuk pujuk tapi bila orang dah tak mahu, saya tak boleh nak buat apa,” katanya.

Peguam Asmadi bertindak mengemukakan surat saman pada tiga hari lalu, dengan menyertakan beberapa tuntutan.

“AAP dan pihak kami mengambil langkah pantas dengan mengemukakan surat pada Rabu lepas (22 Jun).

Surat terbabit dalam perjalanan sekarang dan pihak AAP ada menyebut di dalam surat tuntutan kerana Amelia dan Idris telah mungkir perjanjian dan ada beberapa perkara lain menyusul,” kata Ashmadi. — BebasNews

Leave a Reply