Fazurina

PATUTLAH sudah jarang melihat penampilan pelakon Fazurina berlakon sekarang ini. Rupanya kini beliau seronok dan sibuk dengan dunia barunya sebagai pengacara program televisyen.

“Alhamdulillah. Selain berlakon kini Nina juga dah jadi pengacara untuk program baru terbitan TV AlHijrah bertajuk Kaunter Netizen. Bila dah terlibat dengan bidang pengacaraan ini satu bidang yang baru dan Nina rasa seronok sangat.

“Program bual bicara selama sejam ini membicarakan masalah masyarakat. Apa saja pertanyaan netizen diluar sana, Nina akan bertanyakan kepada panel-panel jemputan. Nina kekal sebagai hos dan akan bersama panel jemputan ustaz-ustaz dan pakar sesuatu bidang. Musim pertama sebanyak 26 episod ini bersiaran setiap Rabu dan khamis dari jam 6 hingga 7 petang.

Jadi pengacara untuk program baru terbitan TV AlHijrah bertajuk Kaunter Netizen.

“Antara tetamu jemputan ialah Ustaz Syamsul Debat, Ustaz Datuk Dr. Mohd Izhar Ariff dan Ustaz Syed Mohd Norhisyam. Mereka bertiga akan bersiaran dengan Nina untuk enam episod dan ada yang tujuh episod,” kata Siti Fazurina Muhammad Famir yang lebih senang membahasakan dirinya dengan panggilan Nina

Antara panel yang terlibat dalam Kaunter Netizen ialah Datuk Dr Fadzilah Kamsah, Ustaz Abdullah Khairi, Ustaz Dr. Syauqy, Ustaz Haslin Bollywood, Uztaz Ashraf, Doktor Tengku Asmadi, Doktor Alizi Alias (pakar psikologi), Puan Adlil Rajiah (penulis buku keibubapaan), Ustaz Haji Hushim (pakar psikologi rumah tangga), Zaf VE dan ramai lagi.

Fazurina,39 menambah, Sebelum ini, sembilan tahun lepas dia pernah menjadi hos untuk TV AlHijrah.

Dengan gaya tersendiri.

“Dulu Nina buat program bual bicara Soal Wanita yang berbicara mengenai masalah wanita sebanyak 52 episod. Tapi Nina terlibat dalam 10 episod saja. Mungkin pihak AlHijrah tertarik dengan gaya Nina berbicara membuatkan Nina ditawarkan untuk jadi hos bagi program Kaunter Netizen pula.

“Dah rezeki dan syukur lepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak tawaran yang masuk. Nina pun dah macam residen artis mereka pula sekarang ini,’’ katanya yang juga popular dengan drama Dunia Anita dan Bos Mama Kirim Salam.

Bercakap mengenai lakonan pula, kata Fazurina, walaupun dah jadi pengacara namun dunia lakonan tidak akan ditinggalkan.

“Alhamdulillah tawaran berlakon masih banyak lagi walaupun dah ramai muka-muka baru sekarang ini. Nina terima tawaran mana yang Nina suka watak dan ceritanya. Bukan Nina demand tapi kalau watak itu tidak menepati citarasa bagaimana Nina nak menjiwainya.

“Memanglah orang kata pelakon boleh bawa pelbagai watak dan jadi apa saja. Tapi kalau kita berlakon tanpa jiwa, sudah pasti hasilnya tidak memuaskan. Sebelum orang kutuk lakonan Nina, lebih baik Nina tahu keupayaan diri sendiri.” –BebasNews

Leave a Reply