BAGI para peminat Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee dan isterinya, Allahyarham Puan Sri Saloma tidak perlu bersusah payah untuk ke Pustaka Peringatan P. Ramlee di Taman P. Ramlee, Setapak, Kuala Lumpur.

Sebaliknya pameran koleksi mereka terdapat dalam ruang khas dinamakan ‘P. Ramlee Gallery’ bertemakan ‘P. Ramlee & Saloma – Aku, Dia dan Lagu’ di pusat beli belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur bermula pada 14 April sehingga 31 Julai 2022.

Pameran masuk percuma dalam galeri tersebut diadakan di Fahrenheit88 dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Arkib Negara yang menaungi Pustaka Peringatan P. Ramlee itu.

Antara koleksi dua bintang legenda tanah air yang dipamerkan di galeri tersebut adalah terdiri daripada sekian banyak gambar bersejarah serta riwayat hidup mereka dalam bidang kesenian sehinggalah kepada pakaian yang asli pernah digunakan dalam filem dan pertunjukan pentas.

Sebaik sahaja memasuki galeri di Fahrenheit88 itu, anda pasti akan berasa diselubungi oleh nostalgia ke era silam pada zaman kegemilangan sejak tahun 1950-an bagi P. Ramlee serta Saloma (Salmah Ismail yang lahir pada 22 Januari 1935 di Singapura dan meninggal dunia akibat demam kuning ketika berusia 48 tahun di Petaling Jaya, Selangor pada 25 April 1983).

Selain pameran berbentuk gambar dan koleksi pakaian kedua-dua bintang ternama itu, terdapat juga di bahagian belakang galeri tersebut menyediakan sudut teater menayangkan filem-filem lakonan dan arahan P. Ramlee yang penuh nostalgia.

Kesemua filem itu dihasilkan sejak dari Studio Jalan Ampas, Singapura pada 1948 sehingga berhijrah ke Kuala Lumpur beraktiviti di Studio Merdeka, Hulu Klang, Selangor pada tahun 1964.

P. Ramlee (Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh) mula mengarahkan filem pertamanya ‘Penarek Becha’ (ejaan lama) pada 30 Oktober 1955 yang mula menjulang namanya berikutan kejayaan besar sambutan penonton sewaktu tayangan di pawagam adalah filem keluaran Shaw Brothers, Jalan Ampas, Singapura dahulu.

Manakala filem terakhir lakonan dan arahannya ialah ‘Laksamana Do Re Mi’ keluaran Studio Merdeka, Hulu Klang pada tahun 1972 setahun sebelum kematian P. Ramlee di Kuala Lumpur ketika berusia 44 tahun akibat serangan jantung pada 29 Mei 1973.
Generasi baharu sepatutnya perlu mengetahui dengan lebih mendalam akan sejarah dan jasa P. Ramlee dan Saloma menghiasi dunia seni tanah air dengan karya bermutu bersifat malar segar daripada mereka yang kekal harum sepanjang zaman.

Kini rakyat Malaysia masih menantikan pemasyhuran daripada kerajaan untuk mengabadikan nama P. Ramlee kepada Akademi Seni Warisan Kebangsaan Malaysia (Aswara) menjadi Universiti P. Ramlee yang mana usul untuk menggunakan nama seniman agung pada institusi pengajian tinggi awam berorientasikan kesenian untuk membantu pembangunan industri kreatif negara itu telah diluluskan sebulat suara di Dewan Rakyat, Parlimen pada tanun 2017 dahulu.
— BebasNews

NAZERI NONG SAMAH berasal dari Jerantut, Pahang. Mula bergiat dalam bidang penulisan sejak di bangku sekolah rendah darjah lima (1971). Selepas tamat tingkatan 5 (1976) menjadi penulis sambilan di akhbar Kumpulan Utusan Melayu. Menjadi pemberita tetap dengan akhbar Utusan Malaysia selama 36 tahun (1982-2018).