Gambar hiasan - Foto blogspot.com

SUDAH disarankan baru-baru ini, parti-parti politik Peribumi bukan Barisan Nasional (BN) wajar menggunakan realiti demografi atau statistik penduduk Malaysia mutakhir, sebagai teras perkongsian kuasa demokrasinya dalam pilihan raya umum
ke-15 (PRU15) dan di era seterusnya.

Realiti ini (rujuk tulisan Ruhanie Ahmad, Bebasnews.my. 19 Jun 2020), akan membantu gabungan tersebut menentukan pembahagian kerusi bagi PRU15, mencorakkan manifestonya, dan menamakan bakal Perdana Menterinya.

Jika ia menang, realiti ini memudahkan pembentukan jemaah menterinya, dan dalam menentukan corak serta tumpuan dasar pembangunan dan pembinaan negara.

Realiti demografi ini juga membolehkan pemerintahan yang baharu mengatasi dilema keselamatan politik, keselamatan jati diri, dan keselamatan sosioekonomi Malaysia yang wujud sejak kekalahan BN dalam PRU14 pada tahun 2018, dan akibat runtuhnya pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada Februari 2020.

Hakikatnya demikian kerana realiti demografi ini telah mengabsahkan status Peribumi sebagai anak watan dan bangsa teras yang selama ini menjadi asas pembentukan dasar pembinaan dan pembangunan Malaysia.

Hakikatnya juga begitu sebab perangkaan penduduk ini adalah asas kepada pelbagai perancangan strategik di sesebuah negara, termasuk mengenai dasar pembinaan dan pembangunan negara, dasar sosioekonomi, dan dasar pembangunan tenaga insan yang selaras dengan tuntutan zaman.

Naratif mengenai realiti demografi Malaysia pada tahun 1960-an telah digunakan oleh Lee Kuan Yew selaku Ketua Menteri Singapura, dan sekutunya, untuk mencorakkan perjuangan politik Malaysian Malaysia.

Lee memang menyatakan dalam memoirnya, The Singapore Story (1998: 616-627), bahawa perjuangan Malaysian Malaysia tidak mempertikaikan hak istimewa Bumiputera dan Melayu.

Tetapi, ketika membicarakan Malaysian Malaysia dalam buku ini, Lee juga menyatakan, kedudukan penduduk Malaysia berdasarkan bancian terakhir (mungkin pada tahun 1963 atau awal 1964) adalah 39 peratus Melayu, 42 peratus Cina, hampir 10 peratus India dan Pakistan, 7 peratus Iban, Kadazan, Kayan, Kelabit lain-lainnya di Sabah dan Sarawak, dan selebihnya keturunan Serani, Ceylon serta lain-lainnya.

Katanya lagi, mereka yang meniupkan suara perkauman akan hanya terhad kepada kumpulannya sendiri. Tetapi, mereka yang tidak perkauman memunyai peluang memenangi sokongan minoriti yang 20 peratus.

Tambahnya, kenyataan ini bermaksud, kalau kumpulan Cina memenangi sokongan 40 peratus kaum Cina hanya dengan menggunakan slogan Cina, mereka akan kalah. Beliau juga mahu UMNO membuat kesimpulan sendiri apa terjadi dalam tempoh jangka panjang jika ia hanya meraih sokongan daripada Melayu.

Kenyataan Lee di atas juga menunjukkan, Peribumi yang merangkumi umat Islam, Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak pada tahun bancian itu, adalah 46 peratus, dan bukan Peribumi 54 peratus.

Namun Lee tidak menekankan hakikat Peribumi yang minoriti dan bukan Peribumi yang majoriti, seolah-olah untuk menyembunyikan hakikat bahawa perjuangan Malaysian Malaysia adalah berasaskan realiti demografi penduduk Malaysia pada ketika itu.

Namun, Ghazali Ismail, pegawai akhbar PAP yang terlibat dalam memperincikan Malaysian Malaysia, menyatakan, perjuangan ini hanya ditujukan kepada orang Melayu.

“Mereka [parti-parti pendukung Malaysian Malaysia] cuba memberitahu seluruh dunia bahawa konsep Malaysian Malaysia dilahirkan untuk membendung perkauman, tetapi pada hakikatnya konsep itu sendiri berbau perkauman kerana ianya ditujukan kepada satu golongan rakyat sahaja dalam Malaysia” (Ghazali, 1990: 10).

Intisari perjuangan ini adalah: “seluruh rakyat, tanpa mengira bangsa, budaya dan agama, berhak memperolehi layanan yang sama, berhak menuntut hak yang sama, berhak menikmati apa jua keistimewaan yang sudah diberikan kepada orang Melayu” (Ghazali, 1990: 11).

Ini sebabnya, mulai 1964, segolongan rakyat bukan Peribumi telah diracuni propaganda kononnya Malaysian Malaysia berasaskan pelbagai konsep kesamarataan dan kesaksamaan sejagat.

Propaganda ini amat meleset. Malaysian Malaysia adalah perjuangan perkauman yang berasaskan statistik penduduk atau realiti demografi selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

Ciri-ciri perkauman ini juga dicerminkan dalam Malaysian Malaysia DAP mulai tahun 1965 kerana penduduk Peribumi yang minoriti pada ketika itu hanya meningkat berkali ganda mulai awal tahun 1970-an.

Berasaskan naratif di atas, jelaslah demokrasi yang diperjuangkan oleh DAP di Malaysia adalah berasaskan realiti demografi di mana Peribumi adalah minoriti sejak merdeka pada tahun 1957 hingga ke zaman selepas pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Ini sebabnya DAP, dengan secara tersirat, telah mempertikaikan kedudukan Peribumi sebagai anak watan dan bangsa teras dalam Perlembagaan Peresekutuan yang menjadi asas identiti nasional Malaysia sampai sekarang.

Jika inilah asas Malaysian Malaysian, masih relevankah perjuangan DAP, apabila Peribumi kini bukan sahaja anak watan dan bangsa teras; malahan warganegara majoriti Malaysia; sementara kedudukan majoriti bukan Peribumi kian merosot sejak tahun 1970?

Tetapi, jika fakta kemajoritian bukan Peribumi pada tahun 1960-an pernah digunakan untuk mengabsahkan Malaysian Malaysia DAP, tidakkah wajar DAP memperbaharui asas perjuangannya mengikut realiti demografi mutakhir, di mana Peribumi adalah warganegara majoriti?

Dan, adakah rasis jika sekumpulan Parti Peribumi bukan BN menggunakan realiti demografi ini sebagai teras perjuangannya menjelang PRU15, di mana DAP hanya boleh dipertimbangkan sebagai komponennya jika ia mmengiktiraf realiti tersebut dan memansuhkan politik Malaysian Malaysia?

Rumusannya, adalah amat tidak rasis jika pelbagai parti politik Peribumi yang sedang mencari-cari formula untuk membentuk gabungan menentang BN dalam PRU15, menggunakan realiti demografi Malaysia mutakhir sebagai terasnya.

Hakikat ini boleh dilaksanakan jika Peribumi yang majoriti dari segi kedudukan demografinya, tidak lagi berpecah-belah untuk menjadi kuasa politik yang minoriti.

Matlamat ini juga boleh dicpai jika seluruh pemimpin Peribumi bersatu dengan sejujur-jujurnya, agar statusnya selaku anak watan, bangsa teras dan warganegara majoriti, tidak diharu-birukan oleh kelompok lain.

Peribumi bukan kumpulan yang jahil dalam mencaturkan kekuatan kuasa politiknya menjelang PRU15. Realiti demografi ini wajar diabadikan demi Malaysia, rakyatnya, kestabilan politiknya, dan kemakmuran sosioekonominya! — BebasNews

Leave a Reply