MD. NASIR IBRAHIM
Foto SYED YUSOF WAFA

APABILA bercakap mengenai penerbitan sesebuah filem atau drama tidak boleh tidak kita harus memikirkan mereka yang terlibat di sebalik pembikinan karya berkenaan.

Jika ada produser dan dana, ianya tidak mungkin terhasil tanpa mereka yang bertungkus lumus di sebalik tabir untuk merealisasikan hasil karya seni berkenaan buat tontonan ramai.

Pengarah, kru penerbitan dan teknikal serta pelakon adalah mereka yang bertanggungjawab merealisasikan karya seni berkenaan bukan sebagai hiburan semata-mata malah ia juga mampu menjana ekonomi negara.

Bercakap mengenai mereka di belakang tabir ini tidak boleh tidak mungkin ramai menganggap keseronokan mereka yang terlibat dalam dunia penuh glamor.

Tetapi tahukah anda di sebalik dunia glamor dan keseronokan yang digambarkan oleh masyarakat di luar sana sebenarnya ada rasa pilu yang sekian lama tersimpan kemas dan rapi di hati mereka.

Biar mungkin kemelut yang sekian lama membebankan mereka namun tidak pernah mereka luahkan kerana sedar ia bagaikan ditelan mati emak, diluah mati bapak dan biar lautan api dihadapan mereka tetap harungi untuk mencari rezeki yang halal demi isteri dan anak-anak.

Setelah hampir 42 tahun Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ditubuhkan dan sudah 24 tahun Dasar Perfileman Negara (DPN) diwujudkan benarlah kata peribahasa Melayu sekali air bah, sekali pantai berubah bilamana kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu, Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim yang mula menerajui perbadanan itu sejak 31 Oktober lalu dikatakan bagai membawa sinar kebahagiaan buat penggiat seni.

Biarpun baru lapan bulan menerajui FINAS, namun beliau yang berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah Pendidikan Seni dari Universiti Tasmania, Australia pada tahun 2008 serta Pasca Kedoktoran dalam bidang sama dari Universiti Sheffield Halam, United Kingdom pada 2014 dan memilikki Ijazah Sarjana Muda Sastera dari Universiti Sains Malaysia pada 1986 dikatakan amat prihatin dengan nasib penggiat seni yang bagaikan terpinggir sejak sekian lama.

MD. NASIR IBRAHIM

Dalam satu pertemuan di Pejabat FINAS, Hulu Kelang, Jumaat lalu, Md. Nasir Ibrahim ketika ditanya usaha FINAS bagi memastikan nasib dan kebajikan penggiat seni terutama kru di belakang tabir agar tidak terpinggir, memberitahu;

“FINAS tidak pernah mengabaikan nasib dan kebajikan penggiat seni dan ini dapat dilihat dengan adanya DPN pada tahun 1998. Bagaimanapun ketika itu ia lebih fokus kepada stesen telivesyen dan radio sahaja.

“Adalah difahamkan pada tahun 2005 ianya disemak untuk kebaikan bersama namun kita harus faham dunia kini semakin canggih dengan adanya internet dan sebagainya.

“Bagaimanapun sejak sebulan lalu kami menyemak semula DPN dan kini masih dalam proses penambahbaikan. Kami masih menunggu maklumbalas daripada setiap kumpulan yang dipilih untuk membentangkan cadangan dan syarat-syarat bagi memastikan ia mencapai matlamat demi kebaikan penggiat seni.

“Saya yakin dengan DPN baharu ini ia mampu membela nasib penggiat seni yang selama ini didakwa bagaikan terpinggir.”

Menurut beliau, mereka yang dijemput ketika sesi perbincangan pada 11 Mei lalu antaranya Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), FINAS dan penggiat seni.

Katanya, DPN ini penting kerana ia akan merubah landskap perfileman negara dan dapat memayungi semua yang terlibat dalam industri.

“Kalau dasar tidak kuat kita tidak boleh perjuangkan apa juga yang berkaitan dengan filem terutama kebajikan para penggiat seni dari segi royalti, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (EPF) dan insurans,” kata Md. Nasir Ibrahim.

MD. Nasir Ibrahim ketika melawat lokasi penggambaran filem “Imam” yang turut dibintangi Datuk Rahim Razali.
Filem itu diarahkan oleh Mior Hashim Manap.

Md. Nasir memberitahu bagi memastikan kebajikan penggiat seni disantuni dengan baik, sesi ‘pitching’ Dana Kandungan Digital (DKD) yang bermula pada 1 April akan berakhir pada 1 Julai ini.

“Berkuatkuasa 1 Julai ini, penerima DKD antara RM700,000 hingga RM1.5 juta, mereka disyaratkan memperuntukkan EPF dan insuran daripada dana tersebut untuk semua penggiat seni yang terlibat dalam penerbitan mereka.

“Syarat yang ditetapkan FINAS bukan mahu menyusahkan tetapi demi kebaikan semua pihak yang terlibat dalam karya daripada DKD,” jelas Md. Nasir.

Menyentuh mengenai royalti filem terbitan Shaw Brothers yang kerap ditayangkan di Astro dan pernah dibangkitkan segelintir mereka yang terlibat dalam filem berkenaan beliau memberitahu;

“Dalam soal ini kita harus tahu dasarnya. Adakah hakmiliknya selepas 30 tahun menjadi ‘public domain’ dan apabila ditayangkan kita tidak perlu bayar atau kini hakmiliknya sudah bertukar.

“Sebabnya FINAS yang mahu menayangkan enam filem wayang pacak sempena aspirasi keluarga Malaysia dengan tiga filem trologi Bujang Lapuk kami kena bayar kepada Astro.”

Menurut beliau dalam soal ini DPN itu amat penting kerana ia boleh memayungi semua terutama dari segi royalti.

Disamping itu apabila ditanya mengenai sikap stesen telivesyen hari ini yang mahukan pelakon muda dimekapkan untuk melakonkan watak tua, komen Md. Nasir;

“Bagi saya adalah lebih manis dan sesuai jika pelakon yang sudah berusia melakonkan watak tua kerana jika pelakon muda dimekapkan ‘tua’ bukan sahaja nampak pelik dengan garisan hitam di dahi malah suara dan gaya mereka nampak begitu janggal.

“Industri kita masih ada pelakon lama yang sesuai melakonkan watak tua antaranya seniwati Norlia Ghani, Mak Mah, Wan Maimunah dan Fauziah Nawi. Saya juga berharap pihak penerbit janganlah terlalu ikutkan kehendak stesen TV yang hanya memikirkan followers hingga sanggup mengambil instafamous berlakon sedangkan mereka tidak berbakat.”

Beliau memberitahu pihak FINAS ada meminta Profima mendapatkan ‘red card’ (bayaran) mengenai para pelakon dan kru di belakang tabir agar boleh menetapkan bayaran maksimun bersandarkan pengalaman mereka dalam industri ini.

– BebasNews

Leave a Reply