Fathia

SUDAH lama tidak melihat kemunculan pelakon Fathia Latiff,34, di kaca TV. Ramai yang menganggap Fathia membawa diri ekoran pelbagai kontroversi yang menimpa dirinya sebelum ini.

Namun kemunculan terbaru juga turut diperkatakan peminat berikutan wajahnya yang kini banyak berubah. Melihat perubahan tersebut, ramai yang tertanya-tanya sama ada Fathia Latiff membuat pembedahan plastik kerana wajahnya cukup berbeza dengan wajahnya yang dahulu.

“Mana ada Fathia buat pembedahan plastik. Muka Fathia sama saja seperti sebelum ini. Sebenarnya Fathia ada dapat tajaan buat rawatan di sebuah klinik di Kuala Lumpur. Fathia buat rawatan biasa saja… bukannya buat rawatan pembedahan plastik. Rawatan bawah mata saja… sebab bawah mata Fathia ada masalah.

“Mungkin hasil rawatan itu yang buat peminat lihat wajah Fathia berbeza. Fathia pun pelik dan tak faham mengapa orang kata wajah Fathia berubah berbanding sebelum ini. Sedangkan Fathia rasa muka Fathia sama saja masih muka yang dulu.” kata Fathia sambil ketawa mengulas pertanyaan netizen diluar sana dan berharap mereka tidak mempertikaikannya lagi.

Menyentuh mengenai dunia lakonan pula, menurut Fathia atau nama sebenarnya, Nur Fathia Abdul Latiff, kepuasan seseorang pelakon itu apabila mereka berjaya membawakan sesuatu watak itu dengan begitu berkesan sekali. Itu membuatkan seseorang pelakon itu terlalu memilih dan bertanyakan watak sebelum memberi persetujuan untuk menerima tawaran.

“Walaupun sudah berpuluh buah drama serta filem yang dilakonkan namun Fathia masih belum berpuas hati dengan karakter yang diberikan. Fathia suka watak jahat dan sudah bersedia untuk kembali beraksi.

“Tapi tawaran yang datang tak berapa menepati citarasa. Bukan Fathia demand. Tapi banyak faktor yang membuatkan Fathia menolaknya kerana jalan ceritanya tak begitu best. Kalau boleh jalan ceritanya biarlah macam drama Ariana Rose… beri impak dan orang seronok nak tengok.”

Fathia menambah, “Bukan itu saja, sebelum ini dah banyak drama Fathia diberikan watak heroin… takkan nak turun darjat pula jadi pelakon pembantu atau bawa watak-watak yang kecil. Bukan nak memilih tapi tengoklah juga pengalaman Fathia.

“Ada rezeki, Fathia teringin sangat nak bawa watak jahat. Kalau watak pembantu pun tak mengapa, asalkan dapat bawa watak perempuan jahat.

“Mungkin mereka ingat wajah cantik dan manis macam Fathia tidak mampu bawa watak jahat. Itu yang buat produser takut memberikan watak yang berlawanan dengan diri Fathia. Tambah pula lepas covid baru dapat tawaran semula,’’ kata Fathia yang tengah menunggu tawaran Ziela Jalil membuat penggambaran drama Ariana Rose 2.

Sejak putus cinta, ramai yang tertanya-tanya siapakah lelaki yang berjaya bertakhta dihatinya semula, bercakap mengenainya, jelas Fathia sambil ketawa, “Memang ada yang cuba dekati tapi ada juga yang macam takut-takut nak dekati Fathia. Tapi masalahnya yang cuba mendekati Fathia kebanyakannya tidak menepati citarasa.

“Ialah kita kahwin sekali saja untuk selama-lamanya. Sudah pasti seseorang wanita itu berharap dapat bersama lelaki yang disukai dan sedap mata memandang.

“Semua wanita termasuk Fathia, jika ada jodoh inginkan suami yang beriman, ada rupa, kaya, bertanggungjawab dan memahami. Tambah pula macam Fathia ini seorang yang slamber dan sempoi dan harap mereka boleh terima Fathia seadanya.”

Kini Fathia dalam proses menyiapkan single bergandingan dengan seorang rapper. Hobi barunya ini bagi mengubati kebosanan dirinya sekarang ini.

“Fathia buat single bukan nak bersaing dengan sesiapa. Tapi Fathia memang suka menyanyi,” katanya yang juga popular menerusi drama Dia…Isteri Luarbiasa, Menanti Februari dan Hani. — BebasNews

Leave a Reply