"Hidup saya susah...," kata Rohayu sambil menangis
Foto SYED YUSOF WAFA

BAGI seorang artis populariti dan kejayaan hanya datang sekali dalam kerjaya mereka. Jika bijak melayari hidup sebagai anak seni dan jauh dari segala kontroversi tidak mustahil ia akan kekal dalam jangka waktu yang panjang.

Namun jika sesuatu yang terjadi melibatkan diri dengan syarikat rakaman dan keluarga meskipun hanya sekadar mempertahankan prinsip, ia bagaikan petanda bahawa itu adalah titik penamat perjalanannya sebagai anak seni.

Biarpun apa yang terjadi melibatkan pihak kedua dan ketiga namun kesannya tetap mencalarkan perjalanan seni artis berkenaan.

Itulah yang terjadi kepada penyanyi Rohayu Majid yang cukup popular dengan lagu “Selendang Rindu” pada tahun 1989.

Memang tidak pernah beliau menduga disebabkan kontroversi dengan keluarga dan kesilapannya menandantangni kontrak dengan syarikat rakaman pada usia remaja akhirnya beliau terpaksa mengucapkan selamat tinggal pada dunia seni dan balik ke kampung halamannya di Pulang Pinang untuk beberapa tempoh yang lama.

DENGAN suaranya yang lunak dan wajahnya yang manis, Rohayu Majid cepat meraih populariti.

Bayangkan ketika itu, populariti Rohayu sebaris dengan penyanyi antaranya Ramlah Ram dan Salwa Abdul Rahman namun beliau terpaksa menerima ketentuan takdirnya.

“Sebenarnya apa yang terjadi ketika itu memang membuatkan hati saya luluh tetapi apakan daya apabila ada yang memanipulasi keadaan apalagi bila ia melibatkan orang yang paling saya sayang dan hormati.

“Bagaimanapun saya tetap pada pendirian iaitu saya menceburi bidang seni kerana percayakan bakat dan saya mahu ‘jual’ suara bukan pamerkan tubuh badan.

“Kalau ikut hati demi kebenaran, saya memang mahu mengambil tindakan undang-undang kerana saya merujuk kontrak saya ke Pejabat Buruh tetapi sayangnya saya tidak ada duit ketika itu untuk membuktikan kebenaran di mahkamah.

“Disebabkan itu, saya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia seni meskipun ketika itu nama saya di puncak populariti.

“Jika tidak kerana kontroversi itu saya boleh hidup selesa walauoun tidak kaya. Tetapi kerana keluarga sampai hari ini hidup saya susah!

“Jika saya tengok kawan-kawan antaranya Ramlah Ram, beliau boleh hidup senang dan punya rumah. Tetapi saya jangankan nak punya rumah sendiri, nak sewa rumah pun tak mampu! Kini saya hanya sewa sebuah bilik sebagai tempat berteduh untuk meneruskan kerjaya seni di KL,” luah Rohayu Majid tanpa berselindung.

Mengimbas kembali perjalanan seni dan ‘tragedi’ yang menimpa dunia seninya Rohayu Majid berkata,

“Walaupun ketika itu antara syarat-syarat dalam kontrak dengan syarikat rakaman saya faham tetapi kesilapan yang dilakukan menjerat diri sendiri!

“Disebabkan ‘kes’ yang terjadi dengan syarikat rakaman pada tahun 1991-1992 , ia telah mencetuskan kontroversi antara saya dengan keluarga yang mana menjejaskan kerjaya seni saya.

“Waktu itu, saya masih menerima undangan menyanyi dan ada show tetapi disebabkan masalah dan kontroversi saya merasakan hidup ini bagaikan dalam ‘penjara,” kata Rohayu dalam nada sebak.

Setelah tidak menerima undangan menyanyi, Rohayu Majid mula menyanyi di kelab malam. Meskipun memperolehi pendapatan tetap tetapi tidak semewah show ketika beliau menjadi penyanyi rakaman.

COVER album pertama “Selendang Rindu” yang telah mempopularkan nama Rohayu Majid

“Bermula dari tahun 2001 selama 11 tahun saya menyanyi di kelab malam. Sesekali ada juga saya mendapat undangan menyanyi di stageshow, alhamdulillah rezeki.

“Bagaimanapun pada tahun 2016, saya balik ke Pulau Pinang membantu kakak meniaga nasi campur dan nasi ayam. Walaupun sesekali ada pelanggan kakak yang kenal saya ni penyanyi tetapi saya sekadar memberi senyuman kerana yang penting mencari rezeki yang halal,” ujar Rohayu Majid.

Bagaimanapub kata Rohayu, pada akhir tahun 2021, beliau mengambil keputusan berhijrah semula ke Kuala Lumpur untuk meneruskan kerjaya seninya.

“Pada usia saya hampir 50 tahun memang sudah terlambat apabila mahu kembali menyanyi tetapi lebih baik lambat daripada ‘melarikan diri’ dari dunia seni.

“Memang susah untuk bangun semula dalam bidang ini apalagi dengan ramainya muncul bakat baru yang hebat-hebat tetapi saya tidak mahu mengaku kalah,” ujar Rohayu.

Kini bersama pengurusnya, Kak Zah (0172653435), Rohayu mengatur strategi untuk mengikut ‘rentak’ penyanyi hari ini.

“Insyaa-Allah berpegang kepada keyakinan dan bersandarkan bakat anugerah-Nya, saya akan buat single pertama saya tidak lama lagi.

“Walaupun ada kawan-kawan berpendapat buang masa untuk meneruskan kerjaya seni saya tetapi ia lebih baik daripada bakat itu ‘dimatikan tanpa kubur,” kata Rohayu Majid yang pernah memiliki album duet dengan Ibnor Riza melalui album “Seindah Budi” disamping dua lagi album “Hadirmu” dan “Cinta Kopi Susu.”

– BebasNews

Leave a Reply