
TIADA sesiapa pun yang memasuki gelanggang, semata-mata untuk rela menanggung kekalahan termasuk skuad bola sepak wanita negara.
Steffi Sarge Kaur Sidhu menegaskannya kepada mereka yang mengkritik keputusan perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa Harimauwati Malaya pimpinannya dengan Bangladesh, 23 dan 26 Jun lalu.
Pasti ada yang turut cuba membandingkan kejayaan Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang membelasah Bangladesh 4-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 14 Jun lalu untuk layak ke Piala Asia 2023.
“Kami pun bukan bermain untuk kalah. Sesiapa pun yang masuk padang akan cuba bermain untuk menang,” katanya setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, semalam.
Malaysia dibelasah 6-0 oleh Harimauwati Bengal dalam perlawanan pertama namun tetap bangkit mengikat tuan rumah 0-0 dalam siri kedua di Stadium Bir Sherestha Shaheed Shipahi Mostafa Kamal, Dhaka.

“Selalunya kalau perlawanan pertama kami sukar mengatasi halangan tertentu. Apabila mengkaji videonya dan buat pascanilai mana yang perlu diperbaiki, itu yang keputusan perlawanan kedua jadi lebih baik,” katanya.
Hal ini telah banyak mematangkan Steffi & Co. malah mendedahkan betapa corak permainan lawan lebih baik kerana sudah digandingkan antara empat hingga lima tahun lamanya.
“Cara Bangladesh bermain, mereka sebuah pasukan yang kuat dan sudah bermain bersama empat hingga lima tahun berbanding kami,” kata Steffi.
Kedua-dua perlawanan in sebagai sebahagian persediaan mereka menghadapi Kejohanan Wanita AFF 2022 di Binan City, Filipina pada 4 hingga 12 Julai ini.
Malaysia menganggotai Kumpulan A dengan dua pasukan berpengalaman Piala Dunia Wanita – Thailand dan Australia serta tuan rumah yang baru layak ke sana, tahun depan selain Indonesia dan Singapura.
Steffi menyifatkan pengalaman yang sangat bagus di Dhaka dalam mendedahkan ciri-ciri kelemahan dan kelebihan pasukan negara sekali gus sebagai medan pemilihan pemain ke Kejohanan AFF.
“Bangladesh cukup bersedia ketika menentang Malaysia tetapi kami bukan mahu menjadikannya alasan kalah perlawanan pertama itu.
“Saya percaya sebagai satu pasukan, satu keluarga dan satu unit, kami akan berbuat sesuatu yang istimewa untuk negara di Filipina,” katanya.

Australia dan Thailand menurutnya selain tuan rumah, diketahui sebagai tiga lawan yang paling getir namun mereka sepasukan kena bersedia segi mental dan fizikal sejak memasuki kem latihan lagi.
“Walau macam mana pun, kami akan hadapi juga mereka d Binan. Kami berharap dan berjanji akan sentiasa berikan 100 peratus,” katanya.
Berdasarkan penilaian atas kertas dengan ranking ke-85 dunia milik Harimauwati Malaya, corak bertahan perlu sentiasa menjadi keutamaan mereka apabila berdepan Australia, Thailand dan tuan rumah.
Sebaliknya corak permainan biasa boleh diterapkan ketika menghadapi Singapura dan Indonesia dalam memburu enam mata dalam saingan peringkat kumpulan.
Juga perlu diingat bahawa Indonesia berpengalaman bermain dalam pusingan akhir Piala Asia Wanita AFC, Januari lalu biarpun menjadi budak belasahan, 18-0, 4-0 dan 6-0 kepada Australia, Thailand dan Filipina dalam Kumpulan B di Mumbai.

Tidak seperti Malaysia yang tidak menyertai Sukan SEA Vietnam, bulan lalu, Singapura menduduki tempat ketiga Kumpulan B dengan menyambar tiga mata, mengejutkan Laos 1-0 dan hanya kalah 1-0 kepada Myanmar selain Thailand 3-0.
Kali terakhir Harimauwati Malaya menikmati aksi antarabangsa ialah ketika mengalahkan Palestin 2-0 di Stadium Faisal Al-Husseini, Tebing Barat dalam Kelayakan Piala Asia Wanita AFC pada 22 September 2021.
Mereka juga dikalahkan pemenang Kumpulan H kelayakan itu, Thailand 4-0 pada 19 September 2021.


[email protected]
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, stringer Buletin Utama dan penyunting Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena, Formasi (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Juga Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017, Pemenang Pertandingan Penulis Sukan Piala Asia 2007 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Pegawai Teknikal Antarabangsa (ITO) Sepak Takraw Sukan Pantai Asia Muscat, Oman 2010 serta Sukan SEA Hanoi, Vietnam 2022.