Clear glass teapot near teacups on table selective focus photography
Photo by Pixabay on Pexels Gambar hiasan

MEMBACA kisah Sri Lanka di ambang muflis dengan hutang luar bertimbun-timbun serta bekalan makanan dan minyak pupus, penulis teringat ketika masih kecil bersekolah rendah, minuman utama keluarga ialah teh O.

Serbuk teh yang digunakan ialah teh Ceylon (nama lama Sri Lanka) yang dijual di kedai runcit di kampung. Tiada kopi, apatah lagi Milo atau Ovaltine yang merupakan minuman mahal. Lidah keluarga penulis saban hari merasai air teh. Minuman lain dianggap ‘pelik’.

Tentulah ketika itu negara pulau tersebut dalam keadaan kukuh dengan sektor ekonomi berkembang baik. Teh Ceylon memang popular ketika itu. Namun teh siap bungkus yang dibeli oleh bapa bukanlah jenis terbaik, sekadar sesuai dengan bajet keluarga yang serba kekurangan.

Apabila bungkusan dibuka, bukan sahaja serbuk teh di dalamnya, malah tangkai teh pun ada sekali. Ini menampakkan kualiti teh berkenaan. Namun bagi keluarga penulis, alah bisa tegal biasa. Sudah biasa sangat menikmati teh sedemikian. Tidak kenal dan tidak tahu pun teh jenis lain.

Namun sekarang teh Ceylon seperti yang pernah keluarga penulis minum dahulu sukar dicari di kedai runcit, walau di kampung penulis. Mungkin memang sudah tiada. Sekarang ramai beralih kepada teh berjenama seperti Boh atau Lipton, atau minuman lain seperti Nescafe dan Horlicks.

Rasa tersentuh juga hati penulis apabila negara pengeksport teh yang terkenal suatu masa dahulu kini menghadapi musibah besar. Ekonomi negara pulau itu runtuh, di samping menghadapi rusuhan rakyat yang marahkan kerajaan kerana keadaan ekonomi yang huru hara sekarang.

Sri Lanka menghadapi masalah memenuhi keperluan utama termasuk makanan dan minyak. Bekalan makanan sukar diperoleh sementara kenderaan tidak dapat bergerak kerana tiada minyak. Ini juga menyebabkan pengangkutan awam terjejas teruk.

Bekalan minyak petrol dan disel yang sepatutnya diperoleh melalui beberapa penghantaran juga ditangguh. Ini menyebabkan krisis bahan api di Sri Lanka semakin teruk tanpa kepastian bila akan dapat diatasi.

Situasi ini berlaku kerana Sri Lanka menghadapi masalah membiayai import bahan utama termasuk makanan, bahan api dan ubat. Tanpa segan silu negara tersebut terpaksa merayu untuk mendapatkan bantuan daripada pihak antarabangsa.

Ini adalah perkiraan mudah. Jika tidak mempunyai wang untuk membeli barang, siapa yang bersedia untuk menjual? Keperitan inilah yang dirasai oleh Seri Lanka sekarang. Jangankan hendak membeli barang, hutang luar juga tidak mampu dibayar.

Perbadanan Petroleum Ceylon juga telah menutup kilang penapisan minyak kerana sudah tidak ada minyak hendak ditapis. Sebelum ini ia mendapat bekalan minyak mentah dari Rusia yang dibeli secara kredit untuk dua bulan.

Sri Lanka kini mempunyai hutang luar sebanyak AS51 bilion (RM224.4 bilion). Siapa yang hendak memberi hutang baharu jika hutang lama tidak dilunas. Harapan yang ada ialah meminta bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Inilah yang dilakukan oleh Sri Lanka.

Tentunya ini akan menambah hutang dan meletakkan negara itu dalam krisis ekonomi paling serius. Namun apakan daya, jika sudah tiada pilihan lain terpaksa dilakukan walau pun ia bakal menjerat diri sendiri pada jangka masa panjang.

Apakah masa depan Sri Lanka? Masih adakah cahaya di hujung terowong atau terus berada dalam kegelapan tanpa nokhtah? Kemelut yang dihadapi sangat serius dan tidak mungkin  dapat diatasi dalam waktu terdekat.

Survival negara itu bergantung kepada ihsan pihak luar yang masih sudi memberi hutang. Tanpa ekonomi kukuh dan sumber pendapatan untuk negara, hampir tidak ada cara melunaskan hutang berkenaan. Negara akan terperosok ke dalam lembah hutang sehingga tidak boleh kembali bangkit.

Apa yang terjadi di Sri Lanka adalah sebaik-baik pengajaran agar perbelanjaan negara dikawal dan tidak menanggung terlalu banyak hutang luar sehingga tidak berdaya membayar. Hidup sederhana dan berbelanja menurut kemampuan serta keperluan, perlu dijadikan pegangan. — BebasNews

Leave a Reply