Malaysia hilang prospek pingat emas sepak takraw Sukan SEA Kemboja 2023

SATU-satunya prospek pingat emas terdekat Malaysia dalam sepak takraw iaitu antara regu bakal lenyap dalam Sukan SEA Kemboja 2023!

Acara ini didapati tiada dalam senarai 10 acara sepak takraw yang dicadangkan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kemboja (Camsoc).

Difahamkan senarai itu juga bakal disahkan dalam mesyuarat Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) di Phnom Penh, Kemboja pada 11 hingga 13 Julai ini.

Antara regulah yang menyaksikan Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA Singapura 2015 dan Kuala Lumpur 2017 namun itu pun disebabkan musuh tradisi, Thailand memilih untuk tidak menyertainya.

Dalam Sukan SEA Vietnam 2022 di Hanoi pada bulan lalu, skuad negara sekadar mengucup pingat peraknya setelah ditundukkan kuasa utama dunia itu, 18-21, 13-21.

Skuad negara turut membawa pulang dua lagi pingat perak menerusi regu berpasukan dan beregu dari Hanoi.

ABDUL Halim Kader (dua dari kanan) bersama-sama para pegawai kanan Astaf/Istaf, Chalerm Chaiwatcharaporn, Boonchai Lorhpipat dan Muhammad Fariq Abdul Halim.

Antara regu diperkenalkan pada temasya serantau dwitahunan ini sejak 1981 di Manila dengan kali terakhir Malaysia memenanginya setelah menewaskan Thailand ialah 2005 di Cebu, Filipina.

Presiden Astaf, Abdul Halim Kader berkata, “senarai 10 acara sepak takraw Sukan SEA Ke-32 itu mengandungi beregu, regu berpasukan, gelung dan chinlone (lelaki dan wanita).

“Dua lagi ialah acara baharu yang bakal diperkenalkan Astaf, antara regu campuran dan kuadran campuran,” katanya yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) kepada BebasNews.

MALAYSIA (jersi biru merah) sentiasa sukar menandingi kejaguhan Thailand dalam acara regu berpasukan dan antara regu yang kerap disertainya.

Kedua-dua acara campuran ini akan mula dipertandingkan dalam Kejohanan Dunia Piala Raja Thailand Ke-35 di Bangkok dari 22 Julai hingga 1 Ogos ini.

Antara regu campuran mengandungi seorang pemain lelaki dan dua pemain wanita di gelanggang manakala kuadran (berempat) campuran, dua lelaki dan dua wanita.

TIADA batasan atau larangan tertentu untuk pemain lelaki atau wanita dalam melakukan rejaman, tampanan dan servis bagi acara campuran.

Satu lagi acara sepak takraw yang popular disertai Malaysia ialah regu berpasukan yang kali terakhir pingat emasnya dimenangi kita ialah pada 1991 juga di Manila.

Sukan SEA Kemboja akan berlangsung dari 5 hingga 16 Mei 2023.

Gelung kembali menyertai Sukan SEA setelah kali terakhir dipertandingkan pada 2019 di Subic, Filipina manakala chinlone, di Kuala Lumpur 2017.

CHINLONE dengan bolanya lebih besar yang kurang digemari Malaysia tetapi pernah menghasilkan pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kerana hanya bersaing dengan Brunei dan Filipina dalam acara linking.

 

Leave a Reply