MAWI berkongsi pengetahuan dan pengalaman penerbit filem. – Foto TikTok Mawi

JANGAN sesekali menyangka filem pecah panggung kini, “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan” yang mencecah kutipan RM12.8 juta sehingga semalam, sudah mengaut untung yang agak besar dan sudah balik modal.

Filem arahan Syamsul Yusof yang bermodalkan RM8 juta itu masih perlu membayar cukai hiburan sebanyak 25 peratus daripada angka kutipan berkenaan dan berbahagi pula dengan tuan punya pawagam.

Penerbit filem dan program TV serta penyanyi, Mawi berkata, “selain cukai itu, penerbit filem berkenaan perlu membahagikan kutipan tiket itu kepada 50-50 peratus dengan pemilik pawagam.

“Ramai yang tidak tahu penerbitan filem, jadi ini masa yang sangat sesuai sebab orang tengah bercerita tentang sambutan “Mat Kilau” yang sangat bagus.

“Kutipan yang diberitahu, mencecah lebih RM12 juta. Ramai cakap wow! Sudah balik modal yang RM8 juta sahaja, cukuplah tu. OKlah tu. Sudah ada untung RM4 juta,” kata pemilik nama sebenar Asmawi Ani ini dalam laman sosial TikToknya.

Mawi, 41, yang turut berpengalaman menerbitkan filem “Tiada Tajuk” dan “Hantu Kuat Ketawa” dan bicarawara TV, “Keringat Selebriti” menambah, bagi kutipan “Mat Kilau”, penerbitnya masih belum mendapat modalnya semula.

“Penerbit berhak keluar modal banyak mana pun. Contohnya apabila sesuatu filem ditayangkan di pawagam dengan kutipan RM1 juta minggu pertama sahaja, kena bayar cukai hiburan 25 peratus = RM250,000 jadi ada baki RM750,000.

“Baki itu pula dibahagi 50-50 dengan pemilik panggung wayang. (Jadi) Mat Kilau yang dapat RM12 juta pun tidak balik modal sebab  tolak 25 peratus cukai hiburan RM3 juta dan bakinya RM9 juta dibahagi dua pula dengan pawagam, tinggallah RM4.5 juta

“Sebagai penyokong filem Melayu Malaysia saya hendak beritahu, kena teruskan sokongan kita sampai beratus-ratus juta RM.

“Kalau dengan kutipan ini, tidak mustahil akan jadi sejarah dan petanda baik bagi perfileman Malaysia,” katanya yang mahu berkongsi kesedaran dan pengetahuan ini dengan umum menerusi TikTok itu.

Namun tambah Mawi, pengiraan dan pembahagian peratusan kutipan pada minggu kedua kutipan dan seterusnya pula akan berlainan buat penerbit dan empunya pawagam.

“Pada minggu kedua, pembahagiannya 50-40 (pawagam-penerbit), ketiga 60-40 dan keempat 65-35.

“Inilah pembahagian yang tetap sampai habis tayangan yang sudah jadi semakin kurang untuk penerbit. Jadi jangan selesa dengan kutipan itu (RM12.8 juta “Mat Kilau”) yang meletup atau sudah balik modal,” katanya.

Mawi turut pernah berlakon dalam satu lagi filem arahan Syamsul, “Munafik 2” terbitan 2018 sebagai Ustaz Azhar. — BebasNews

 

Leave a Reply