MEWARTAKAN kawasan tanah pertanian sebagai tanah rizab Kanun Tanah Negara (KTN) dan memajakkannya antara 10 hingga 21 tahun, menjadi satu daripada ikhtiar terbaharu kerajaan dalam memperkasa jaminan bekalan makanan negara.

Ikhtiar tersebut dirangka dalam persetujuan dengan kerajaan negeri-negeri seluruh negara menerusi penubuhan Jawatankuasa Jaminan Makanan peringkat negeri dan daerah, hari ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Jawatankuasa berkenaan tegasnya, bertujuan memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Dasar Jaminan Makanan Negara 2021-2025 yang sinergi antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

Mesyuarat beliau dengan Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri Ke-139 serta menteri-menteri Kabinet berkaitan, juga bersetuju agar pewartaan itu membolehkan keluasan tanah yang sesuai khususnya tanah milik negeri ditingkatkan untuk aktiviti pertanian.

“Tanah rizab itu akan diwartakan di bawah Seksyen 62 KTN dan kemudiannya dipajakkan di bawah Seksyen 63 untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 sehingga 21 tahun.

“Selain itu, pemberian tanah milik negeri kepada anak syarikat kerajaan negeri berkaitan pertanian, akan turut diperkasa supaya tanah tersebut kemudiannya dipajakkan kepada usahawan tani untuk tempoh 30 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB

Mesyuarat kali ini kata Perdana Menteri, juga memberikan penekanan untuk mengukuhkan kerjasama kedua-dua kerajaan berhubung bekalan makanan negara ekoran pelbagai cabaran akibat senario global kini.

“Cabaran ini dipengaruhi peningkatan harga input pertanian seperti harga jagung bijian dan baja, kenaikan kos logistik serta cuaca ekstrem yang menyebabkan kekerapan banjir dan kemarau yang mengganggu kitaran pengeluaran makanan,” katanya.

Pihak berkuasa negeri juga katanya, tertakluk kepada kaedah-kaedah tanah negeri, boleh meluluskan tempoh pajakan itu sekurang-kurangnya tiga tahun dan boleh dilanjutkan seterusnya bagi setiap Lesen Pendudukan Sementara (TOL).

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) mempengerusikan mesyuarat berkaitan penubuhan Jawatankuasa Jaminan Makanan peringkat negeri dan daerah. – Foto PMO

Turut dirangka dalam pelan tindakan jawatankuasa baharu ini ialah:

i. Mengekalkan pengezonan kawasan jelapang padi.

ii. Pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan membangunkan TKPM yang terbengkalai serta yang belum dimajukan.

iii. Mengekalkan pewartaan Zon Industri Akuakultur (ZIA) sedia ada dan mewartakan ZIA yang belum diwartakan.

iv. Menyelaras bersama pihak berkuasa tempatan bagi memudahkan syarat dan proses kelulusan Kebenaran Merancang (KM) pembangunan sistem reban ayam tertutup dan aktiviti agromakanan yang lain.

v. Menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Tanah Pertanian Peringkat Daerah bagi memudah cara urusan membangunkan tanah pertanian milik persendirian yang tidak diusahakan.

v. Menetapkan kadar caj abstraksi bagi sumber air tawar dan air masin yang lebih rendah untuk sektor agromakanan.

Kerajaan persekutuan kata Ismail juga bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan pengurangan atau pengecualian cukai terhadap industri agromakanan.

ANTARA Menteri Besar, Ketua Menteri dan menteri Kabinet yang menghadiri mesyuarat berkenaan. – Foto PMO

Sementara itu katanya, “mesyuarat ini juga memutuskan untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyeragaman Kos Caj dan Fi bagi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi pada Peringkat Negeri.

“Jawatankuasa ini bertujuan mengkaji dan mencadangkan mekanisme penyeragaman kos caj dan fi yang dikenakan bagi pembangunan infrastruktur komunikasi di seluruh negara.

“Pemantauan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) mendapati kos caj dan fi oleh pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi pusat sehenti dan agensi berkaitan di seluruh negara adalah berbeza.

“Penyeragaman kos ini akan menggalakkan pihak penyedia perkhidmatan meningkatkan pelaburan dalam penyediaan infrastruktur komunikasi secara menyeluruh di kawasan-kawasan bandar dan luar bandar,” jelasnya.

Leave a Reply