Sebahagian daripada penerima bantuan kenderaan yang disumbangkan oleh TH di Putrajaya. Turut hadir menyampaikannya Idris Ahmad (tiga dari kiri) dan Amrin Awaluddin.

PUTRAJAYA — Lembaga Tabung Haji (TH) telah menyumbang sebanyak 40 buah kenderaan (van serbaguna) bernilai RM5.4 juta kepada masjid, surau, Pusat Tahfiz serta rumah kebajikan terpilih menerusi Program Mobiliti TH di Majlis Serahan Perdana Program Mobiliti TH di Dataran Kompleks Islam, Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, sumbangan kenderaan dwi-fungsi Program Mobiliti TH ini asalnya bertujuan memenuhi tuntutan fardhu kifayah dalam pengurusan jenazah terutama kepada pihak masjid yang memerlukan di luar bandar.

“Melalui Program Mobiliti ini, TH menyumbang kenderaan dwi-fungsi yang boleh digunakan untuk pengurusan jenazah dan juga dijadikan sebagai van penumbang untuk kegunaan ahli kariah ketika melakukan aktiviti bermanfaat,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan TH.

Program Mobiliti TH ini juga merupakan salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam Aspirasi Keluarga Malaysia untuk pencapaian enam bulan pertama tahun ini.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, sejak diperkenalkan pada tahun 2016, TH telah menyumbang lebih 96 buah kenderaan kepada masjid, surau, Pusat Tahfiz serta rumah kebajikan terpilih di seluruh negara untuk manfaat lebih 300,000 ahli kariah.

“Pada awalnya, sumbangan dibuat kepada masjid-masjid yang memerlukan kenderaan untuk pengurusan jenazah dan aktiviti ahli kariah setempat. Namun bermula tahun 2021, program ini telah diperluaskan meliputi badan-badan kebajikan seperti rumah anak yatim, rumah orang tua dan pusat penjagaan OKU kerana terdapat banyak badan kebajikan di Malaysia yang tidak mempunyai pengangkutan yang selamat dan sesuai untuk para penghuni mereka menjalankan aktiviti harian”, tambah beliau.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Wakil Pengurusan TH, Ahli Jawatankuasa Zakat Wakalah TH, dan para Wakil Pertubuhan Kebajikan dan Persatuan seluruh negara.

— BebasNews

Leave a Reply