JUARA Skuasy Terbuka Malaysia 2021, Aifa Azman dipilih menggantikan S. Sivasangari sebagai pembawa baharu bersama Jalur Gemilang pada majlis pembukaan rasmi Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander pada 28 Julai ini.

“Nama Aifa, 21, diputuskan Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, hari ini sekali gus akan bergandingan dengan atlet powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin.

“Pemain wanita kelahiran Kedah ini akan mengambil alih peranan Sivasangari yang terlibat dalam kemalangan kereta dengan lori bermuatan satu tan di Lebuh Raya Maju (MEX) pada Ahad lalu.

BONNIE BUNYAU GUSTIN

“Sivasangari, 23, yang kini dirawat di Hospital Putrajaya, terpaksa melupakan temasya ke-22 dari 28 Julai hingga 8 Ogos itu dan dilaporkan hanya akan pulih tiga bulan lagi,” lapor kenyataan media MOM, hari ini.

AIFA Azman (kanan) bakal beraksi dalam Sukan Komanwel keduanya selepas 2018, bulan depan. – Foto SRAM

Aifa turut akan menyertai dua acara skuasy di Birmingham, England iaitu perseorangan wanita dan beregu wanita yang bergandingan dengan Rachel Arnold.

Aifa membuat penampilan sulung Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia pada 2018 bagi acara perseorangan wanita dan beregu campuran.

Dia yang kini menghuni ranking ke-28 dunia juga mengalungi Malaysia pingat emas skuasy berpasukan wanita pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

S. Sivasangari perlu berehat sehingga tiga bulan sebelum mampu kembali beraksi di gelanggang skuasy. – Foto SRAM