PASUKAN Khas Jihad Tangani Inflasi ditubuhkan kerajaan hari ini dengan dipengerusikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran ekoran peningkatan kos sara hidup harian.

Peranan pasukan khas ini mengumpulkan semua maklumat daripada Kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi dan menyelaraskan penyelesaian isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien.

Penubuhannya diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sambil menambah, “pasukan ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik Covid-19, dengan mengadakan mesyuarat dua kali seminggu, setiap Isnin dan Khamis.

“Sidang media akan diadakan selepas setiap mesyuarat berkenaan bagi memberi penjelasan kepada isu-isu yang dibangkitkan oleh Keluarga Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan media hari ini selepas penubuhannya yang dipersetujui mesyuarat Kabinet.

Penubuhan pasukan ini juga katanya, diambil ekoran cabaran peningkatan kos sara hidup akibat perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik termasuk konflik Rusia-Ukraine yang dijangka berlarutan sehingga memberi kesan kepada pasaran komoditi makanan dan bahan api.

“Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini turut dianggotai Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal-ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“(Lain-lain anggotanya termasuk) Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali,” kata Ismail.

Pegawai khusus di setiap kementerian menurut Perdana Menteri, akan dilantik sebagai pegawai rujukan untuk memberi maklum balas segera kepada pasukan berkenaan yang urus setianya dikendalikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal- ehwal Pengguna.

“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan Keluarga Malaysia tidak terkesan dengan serius akibat kenaikan inflasi di seluruh dunia,” kata beliau.

 

Leave a Reply