marina bay, singapore, bay
Photo by akenarinc on Pixabay

SINGAPURA, 29 Jun — Jumlah kes harian jangkitan Covid-19 di Singapura melonjak apabila Kementerian Kesihatan (MoH) merekodkan 11,504 kes baharu setakat 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 1,425,171.

Jumlah kes baharu itu meningkat lebih sekali ganda kes jangkitan yang dilaporkan kelmarin, Isnin iaitu sebanyak 5,309.

Dalam satu kenyataan malam tadi, MoH menyatakan sebanyak 93 peratus kes yang dicatatkan terdiri daripada jangkitan tempatan iaitu 10,732‬‬ manakala 772 lagi adalah kes import.

Satu kematian dilaporkan yang membawa kepada jumlah keseluruhan 1,410 orang tekah meninggal dunia.

Sebanyak 10,737 adalah kes Protokol 2, iaitu pesakit yang sihat tetapi diuji positif ART atau dinilai oleh doktor sebagai mengalami gejala ringan dan berisiko rendah.

Ia terdiri daripada 9,989 kes tempatan dan 748 kes import manakala 767‬ kes lagi disahkan menerusi ujian PCR iaitu 743 adalah jangkitan tempatan, manakala 24 adalah kes import.

Menurut MoH, kadar pertumbuhan jangkitan mingguan adalah 1.62, naik berbanding 1.56 pada 27 Jun. Kadar itu merujuk kepada nisbah kes dalam masyarakat pada minggu lalu berbanding minggu sebelumnya.

Kadar melebihi 1 menunjukkan jumlah kes mingguan baharu Covid-19 semakin meningkat.

Sementara itu, sebanyak 437 pesakit masih dirawat di hospital, naik berbanding 420 kelmarin di mana 36 memerlukan bantuan oksigen di wad biasa, sembilan dipantau rapi di ICU manakala 6,229 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Mengenai vaksinasi, setakat Isnin (27 Jun), sebanyak 96 peratus penduduk yang layak sudah divaksin yang meliputi 93 peratus menerima dos pertama, 92 peratus lengkap dua dos dan 78 peratus disuntik dos penggalak. — BebasNews

Leave a Reply