glasses, book, phone
Photo by DariuszSankowski on Pixabay Gambar hiasan

TIDAK perlu kita menunggu Akta memberi kuasa kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menghukum pesalah bahasa. Saya menaruh harapan hikmah dan pemikiran dalam perancangan Pindaan Akta DBP (1959) akan membawa implikasi yang positif dalam penggunaan bahasa Melayu di Malaysia. Diharap juga pindaan Akta tersebut merangkumi unsur pembujukan dan pendidikan (dalam penggunaan Bahasa Melayu).

Saya tidak mempunyai butiran lanjut mengenai usaha pindaan tersebut selain dari apa yang dilaporkan dalam media. Jika liputan media menumpukan kepada hukuman ke atas pesalah, dan ini hanya satu aspek dari pindaan tersebut, kita harap dari segi-segi lainnya juga dibincang dan diulas. Kita harap media berbahsa Melayu lebih berperanan dengan seimbangan inisiatif DBP itu.

Namun pindaan itu bukanlah menyekat warganegara kaum lain di Malaysia dari bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Orang Melayu bukanlah sekejam orang putih di New Zealand sebelum Perang Dunia Kedua. Sekian lama, murid-murid bangsa Maori dihalang bertutur bahasa ibunda mereka di sekolah. Jika ini berlaku, mereka dihukum secara dipukul dengan rotan. Ada juga cerita yang jarang kita dengar bahawa penjajah Pakeha (gelaran Maori kepada orang putih) memotong lidah Maori jika mereka bertutur dalam bahasa mereka sendiri.

Malaysia masih lagi berbudi dalam dasar awamnya. Negara membenarkan sekolah China dan Tamil ditubuhkan. Mereka boleh bebas bercakap bahasa ibunda mereka di dalam atau luar sekolah vernakular masing-masing. Tiada hukuman.

Namun, apa-apa perancangan bahasa di Malaysia mesti mengambil kira keadaan kewujudan negara bangsa dalam sebuah negara bangsa (nation state within a nation state). Ini telah berlaku lebih dari 65 tahun. Kita merancang strategi mengatarabangsakan Bahasa Melayu; lalu memartabatkan Bahasa Kebangsaan. Kita inginkan, melalu peruntukan undang-undang dan dasar awam akan penggunaan Bahasa Melayu di seluruh negara oleh semua kaum yang menjadi warganegara.

Namun apakah strategi dari pindaan tersebut untuk menyahkan kewujudan dua negara bangsa di Malaysia ini? Kumpulan kecil yang tidak mempedulikan apa-apa dasar awam mengenai bahasa dan budaya kebangsaan akan terus menjadi masalah. Mereka ini telah menjadi bengap. Usaha Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak sempurna dari segi kedudukan dan pelaksanaannya jika sebuah “negara bangsa” itu terasing dan terselindung dari nilai arus perdana negara bangsa Malaysia.

Apakah pindaan Akta tersebut mengambil kira hal ini? Penduduk negara bangsa yang asing itu, dalam negara Malaysia bukan hanya tidak memperdulikan Bahasa Kebangsaan, mereka juga tidak tahu bercakap dalam bahasa Melayu. Apatah lagi jika Akta tersebut ingin mempupuk kesetiaan dan kebangaan terhadap bahasa Melayu.

Dari laporan pelan tindakan Dong Zong (bertarikh 2018) bertajuk Summary of Malaysian Independent Chinese Secondary Schools (MICSS): Education Blueprint, terdapat lebih dari 60 sekolah persendirian Cina di Malaysia dalam “satu sistem pendidikan Cina yang menggunakan bahasa ibunda” mereka. Sejak 2004, dilaporkan terdapat lonjakan jumlah pelajar sekolah tersebut dengan 60,000 pelajar pada tahun 2009, 70,000 pelajar pada tahun 2012, 80,000 pelajar pada tahun 2015. Laporan itu menjangka jumlah tersebut akan bertambah menjangkaui lebih dari 90,000. Itu jumlah murid. Ini tidak termasuk keluarga dan sokongan masyarakat ke atas sekolah persendirian itu.

Jika mereka dididik secara terasing dari nilai arus perdana negara bangsa Malaysia, bagaimanakah kita mengharapkan tidak wujud dua negara bangsa dalam negara ini?

Saya pernah bertanya kepada beberapa staf DBP apakah sekolah-sekolah China dan Tamil ini didekati dalam Bulan Bahasa yang diraikan setiap tahun? Saya tidak mendapat jawapan yang jelas. Apakah sekolah persendirian Cina didekati dalam menggalakan penggunaan bahasa Kebangsaan? Apakah Bahasa Melayu digunakan di Kampung-Kampung Baru? Bagaimanakah Akta tersebut dapat mendekati kelompok ‘pembenci’ dan ‘pembelot’ bahasa Kebangsaan ini?

Bagaimanakah pindaan Akta tersebut dapat menangani ideologi anti perpaduan melalui “negara bangsa” ini? Selain dari itu terdapat warganegara, termasuk orang-orang Melayu, yang bersikap sinis terhadap penggunaan bahasa Melayu. Biarkan mereka sinis. Golongan ini sifatnya berbeza dengan golongan negara bangsa yang disebut tadi. Akan tetapi pindaan Akta DBP tidak boleh membiarkan kelompok satu lagi negara bangsa terus kekal dalam sebuah negara bangsa Malaysia.

Segala retorik dan wacana mengenai sejarah dan keunggulan bahasa Melayu tidak dipedulikan mereka, lebih-lebih lagi jika wacana itu dalam bahasa Melayu. Mereka tidak faham dan tidak mahu faham.

Kita boleh berhujah sampai kiamat memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa peradaban selama lebih dari 2000 tahun. Kepulauan Melayu merupakan kancah kepada pertembungan tamadun dari timur dan barat. Apa mereka peduli?

Pindaan Akta akan hanya tinggal pindaan. Pelaksanaannya dan hukuman yang diperuntukkan mungkin akan meluaskan jurang kedua negara bangsa tersebut. Pembujukan, pendidikan, persekitaran yang sesuai masih diperlukan. Unsur mewajibkan kegunaannya tidak diiringi dengan tindakan yang sepatutnya dari 1957. Sikap institusi awam, seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) yang umumnya dipimpin oleh pentadbir Melayu, mesti dinilai semula. Tindakan PBT dalam menempatkan Bahasa Kebangsaan pada kedudukannya perlu diperuntukan dalam Pindaan Akta tersebut.

Saya tidak ingin melihat sekolah persendirian Cina kebal dari peruntukan Akta terebut. Jika begitu, kealpaan dan kelemahan kita akan meneruskan kewujudan dua negara bangsa dalam sebuah negara Malaysia.

— BebasNews

Leave a Reply