Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR — Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan beliau menyeleweng peruntukan Badan Perhubungan UMNO Kelantan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) itu memaklumkan, semua dana parti diuruskan mengikut garis panduan parti termasuk dana untuk pilihan raya.

Beliau menegaskan dana tersebut diuruskan jawatankuasa berkenaan di peringkat Badan Perhubungan.

“Saya merujuk kepada laporan media mengenai perbicaraan di Mahkamah Tinggi membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang membuat kenyataan saya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan pada masa itu, menyeleweng peruntukan kepada Badan Perhubungan UMNO Kelantan sebelum PRU-14.

“Saya menafikan kenyataan Ahmad Zahid itu, malah penyertaan saya dalam Bersatu bukan untuk mengelak siasatan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Jeli itu berkata, selepas PRU-14, beliau dipanggil untuk memberi keterangan kepada pihak berkuasa sebanyak dua kali iaitu pada akhir 2018 dan awal tahun 2019.

“Saya dipanggil memberi keterangan mengenai perkara berikut iaitu sebagai bekas ahli Jemaah Menteri, saya diminta memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan minit Mesyuarat Jemaah Menteri mengenai projek Trans Sabah Gas Pipeline.

“Selain itu, sebagai bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, saya memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan dana dimasukkan dalam akaun Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang didakwa diperoleh daripada sumber 1 Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.

Jelasnya lagi, kenyataan Ahmad Zahid itu pernah dibangkitkan beberapa pihak sebelum ini dan pada 20 September 2018, SPRM turut menafikan perkara itu.

“Malah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Kelantan ketika itu juga turut memberi penjelasan mengenai pengurusan dana PRU-14 pada 16 Januari 2019,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, tuduhan sedemikian berniat untuk mencemarkan reputasinya sebagai ahli Jemaah Menteri dan Ahli Parlimen.

“Saya tidak pernah menerima tekanan daripada mana-mana pihak untuk menyertai Bersatu dan tidak pernah menyeleweng dana Badan Perhubungan UMNO Kelantan bagi PRU-14.

“Saya bersedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan,” katanya.

Kenyataan media —

— BebasNews

Leave a Reply